TERKINI: Ibu murung cederakan leher, dada anak OKU guna parang

TERKINI: Ibu murung cederakan leher, dada anak OKU guna parang


DUNGUN: Seorang wanita kurang upaya cedera pada leher dan dada dipercayai angkara ibu kandungnya yang dikatakan mengalami kemurungan menggunakan parang.

 

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Felda Kerteh, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi dengan mangsa, 46, mengalami luka sedalam kira-kira lapan sentimeter pada dada, selain menerima lima jahitan serta cedera pada bahagian leher.

 

Suspek, 71, dikatakan mengalami masalah emosi dan gemar bersendirian akibat kemurungan selepas kematian suami kira-kira dua bulan lalu.

 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan tidur di dalam bilik, manakala suspek berbaring di luar.

 

Katanya, seorang lagi anak lelaki mangsa yang juga pengadu berusia 33 tahun berada di ruang tamu.

 

"Pengadu mendakwa terdengar jeritan kakaknya (mangsa) sebelum bergegas ke dalam bilik.

 

"Ketika itu pengadu melihat ibunya sedang memegang parang pendek sebelum segera merampasnya dan segera menghubungi polis," katanya.

 

Maizura berkata, mangsa yang cedera pada leher dan dada kemudian dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

 

Suspek pula dihantar ke Unit Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


Kredit: Berita Harian


Post a Comment

0 Comments