TERKINI: Ibu Zayn Rayyan dibawa ke rumah, 'lakon semula' kejadian kehilangan anaknya

 



PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, yang kini berada dalam tahanan reman polis bagi membantu siasatan pembunuhan anaknya, dibawa kembali ke kediaman mereka dekat Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

 

Proses membawa ibu Zayn dipercayai dilakukan adalah untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn sehinggalah mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.

 

Berdasarkan tinjauan di lokasi, sebuah van polis tanpa logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa ibu mangsa ke lokasi kediamannya di Blok R pada jam 10.15 pagi tadi.

 

Setakat ini tiada maklumat diperoleh mengapa bapa Zayn tidak dibawa ke lokasi berkenaan bersama isterinya.

 

Difahamkan, wanita itu juga akan di bawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemui iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan bagi melakonkan semula kejadian.

 

Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak namun belum pasti tujuan kegunaan patung berkenaan.

 

Jumaat lalu, polis menyambung reman ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

 


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu akan direman enam hari sehingga 13 Jun ini.

 

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu.

 

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar 10 malam.

 

Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya selepas dilaporkan hilang.


Kredit: Berita Harian


Post a Comment

0 Comments