Kajang: Siasatan polis mendapati terdapat percanggahan
berhubung keterangan ibu, bapa dan saksi-saksi lain membabitkan kes pembunuhan
kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, di
atas faktor itu pihaknya memohon penyambungan tempoh reman selama enam hari ke
atas ibu bapa mangsa semalam bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Ada perkara yang perlu kita perlu semak dan ada
perkara yang tidak seiring dengan siasatan jadi kita sambung reman semalam enam
hari yang kita akan guna untuk lengkapkan kertas siasatan.
"Saya tak boleh jelaskan (percanggahan apa), bukan saja
daripada mereka (ibu dan bapa) tapi juga daripada saksi lain yang mana saya
tidak boleh jelaskan terperinci kerana masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis
Pelancaran Taman Angkat Amanita Polis Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman
Rakan, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala
Devi dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.
Mengulas mengenai status siasatan ke atas ibu dan bapa Zayn,
Hussein berkata, masih terlalu awal baginya untuk memberi jawapan dan meminta
diberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan
Pendakwa Raya sejurus semua aspek siasatan lengkap dan segala percanggahan
keterangan selesai disemak.
Ditanya mengenai kemungkinan saksi lain dirakam percakapan,
beliau berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan dan dapatan siasatan
yang sedang berjalan.
Menurutnya, setakat ini tiga individu iaitu bekas pengasuh
dan dua ahli keluarga pengasuh berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam
keterangan.
"Itu saja saya boleh kongsi buat masa ini, tidak wajar
kita kongsikan terlalu terperinci, berilah ruang polis lakukan siasatan.
"Mungkin ada lagi tindakan membabitkan orang lain atau
benda lain yang tidak membabitkan ibu bapa, ini kita perlu lengkapkan.
"Jadi bergantung kepada outcome (dapatan) siasatan ini
lah sama ada cukup enam hari (boleh selesai) atau perlukan masa lagi
(lengkapkan siasatan)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memberi ruang
kepada peguam kedua-dua suspek untuk bertemu mereka namun atas budi bicara
polis.
Kredit: Harian Metro
0 Comments