'Walau apa berlaku, aku tetap dengan kau' (Zulkifli)

'Walau apa berlaku, aku tetap dengan kau' (Zulkifli)


Kuala Lumpur: "Apa-apa pun berlaku, aku tetap dengan kau (Zulfikli Yusof)," kata pendaki rakyat Malaysia, Zainudin Lot, 48, menceritakan detik akhir menemani rakannya yang terkandas di Gunung Denali, Alaska di Amerika Syarikat selepas menakluki puncak gunung itu pada 11 malam, 27 Mei lalu waktu tempatan.


Zainudin berkata, sebaik sahaja rakan pendaki mereka, Muhammad Illaham Ishak, 48, mengambil keputusan turun ke Kem 5 4,330 meter (m) dari kawasan berhampiran puncak Denali (5,181m), dia mendapati Zulfikli sudah mempunyai simptom ederma serebrum beraltitut tinggi (HACE) dan sudah berhalusinasi.

 

Katanya, selama kira-kira sejam dia bersama Zulfikli berhenti seketika di kawasan berhampiran puncak sebelum mengambil keputusan turun menuju ke Football Fields (5,791m) iaitu lokasi berhampiran dengan Kem 5.

 

"Dalam perjalanan turun itu pada 28 Mei awal pagi saya mendapati tingkah laku Zulfikli sudah kelihatan berhalusinasi dan saya meminta dia bertenang dan berjalan turun mengikut kemampuan sambil dipantau saya di belakang kerana perjalanan turun lebih teknikal memerlukan bantuan tali keselamatan.

 


"Ketika itu, keadaan arwah serba tidak kena. Sekejap dia mampu berjalan, sekejap dia mendakwa tidak mampu bergerak. Jadi, bersandarkan pengalaman saya ia adalah simptom HACE. Jadi, saya meminta Zulfikli bertenang supaya kami dapat meneruskan perjalanan turun ke Football Fields," katanya.

 

Katanya, dalam beberapa meter menghampiri Football Fields, Zulfikli sekali lagi meminta untuk berehat dan ketika itu seorang renjer Taman Negara (NPS) kebetulan melalui lokasi itu bersama kumpulan pendaki lain bertemu mereka.

 

"Renjer berkenaan memberitahu bahawa mereka sudah pun mendapat maklumat mengenai kecemasan dalam kumpulan kami. Namun, bantuan helikopter tidak dapat diberikan memandangkan keadaan cuaca buruk menyebabkan helikopter tidak boleh mendarat.

 

"Pada masa sama, ada seorang lagi renjer yang datang dan membuat satu lubang untuk kami bertahan atau bivouac yang boleh memuatkan saya dan Zulfikli masuk ke dalam itu bagi berlindung sementara mendapat bantuan lain," katanya.

 

Jelasnya, ketika itu keadaan Zulfikli tidak stabil dari segi tingkah lakunya. Malah, mengalami serangan ketakutan melampau (anxiety) untuk masuk ke dalam bivouac.

 

"Saya terus minta Zulfikli bertenang dan yakin bantuan akan tiba. Namun pada waktu malam, keadaan menjadi semakin tegang apabila Zulfikli masih dalam keadaan serba tidak kena dan berhalusinasi.

 

"Saya mengingatkan arwah supaya kami hanya tidur-tidur ayam kerana khuatir keadaan menjadi lebih buruk jika terus tertidur di altitut tinggi yang melebihi 5,000m. Ketika itu, kami meminta maaf berkali-kali sesama sendiri jika ada antara kami yang pergi dulu dan terus berdoa supaya kami mampu bertahan," katanya.

 

Jelasnya, keadaan ketika itu keadaan amat kritikal kerana mereka sudah kehabisan makanan dan minuman dan kami hanya makan ais untuk terus hidup.

 

"Renjer memberikan kami ubat dan suntikan Dexamethadon sebelum kami masuk ke lubang salji.

 

"Namun, renjer berkenaan menuju ke High Camp dan memaklumkan sudah mengaturkan bantuan helikopter untuk menyelamatkan kami keesokan harinya," katanya menceritakan keadaan itu ketika dihubungi.

 

Katanya, pada keesokan harinya iaitu 29 Mei, keadaan menjadi lebih buruk apabila salji turun tanpa henti menyebabkan mereka di dalam bivouac terpaksa berada di dalam lubang itu dalam keadaan muka bersalji kerana lubang berkenaan tidak bertutup sepenuhnya.

 

"Apabila kehabisan bekalan makanan, keadaan Zulfikli menjadi semakin kritikal dan sangat lemah dan ketika ini saya sempat memberikan Zulfikli ubat Ibu Profen untuk mengurangkan tekanan HACE.

 

"Saya katakan kepada dia, aku tak akan tinggalkan kau walau apa pun berlaku, aku tetap dengan kau. Kita akan turun sama-sama dari gunung ini," katanya.

 

Katanya, sekitar jam 5.50 pagi waktu tempatan, Zulfikli menumbuk badannya berkali-kali dalam keadaan yang lemah dan dia seperti meracau.

 

"Saya minta dia mengucap dan keadaan itu amat sebak kerana saya tidak boleh lakukan apa-apa selain meminta dia bertenang. Sehinggalah dia tidak sedarkan diri dan saya masih berusaha menepuk badannya supaya dia sedar. Pada jam 5.59 pagi saya dapati, nafasnya sudah tiada," katanya.

 

Zainudin berkata, menyedari Zulfikli sudah tidak bernafas, dia hanya memeluk jenazah sepanjang masa dan sentiasa berdoa supaya bantuan tiba secepat mungkin kerana keadaan dirinya juga semakin lemah.

 

"Dua malam saya tidur memeluk jenazah Zulfikli. Saya hanya dapat berdoa dan sudah reda jika bantuan tidak tiba mungkin ajal saya juga di sini. Ketika itu, saya juga ada ternampak helikopter tetapi mereka tidak dapat mendarat kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

 

"Saya hanya mampu menjerit dari dalam bivouac. Akhirnya pada sekitar jam 7 pagi 31 Mei, helikopter datang membawa bakul yang tergantung (high rope line rescue) dan di dalam bakul yang tergantung itu hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja," katanya.

 

Tambahnya, selepas mengambil kira keadaan semasa, memandangkan Zulfikli sudah meninggal dunia dan kesukaran menurunkan jenazah, Zainudin turun terlebih dahulu untuk mendapatkan rawatan kerana dia sudah mengalami luka beku dan hipotermia.

 

"Sekarang saya berada hospital di Talkeetna. Lima jari kanan saya mengalami luka beku dan usaha untuk membawa turun jenazah Zulfikli masih dilakukan buat masa ini kerana cuaca di sekitar Gunung Denali sukar untuk diramal terutama keadaan angin.

 

"Jika pasukan keselamatan tidak dapat membawa saya turun pada hari ini, mungkin saya juga tiada pada hari ini," katanya.


Kredit: Harian Metro 

Post a Comment

0 Comments