Kangar: Wanita hamil yang cedera selepas kemalangan
motosikal bersama suaminya akibat ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di
Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini, pagi tadi, mengalami keguguran
apabila kandungannya disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Baeyah
Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar
mendapati, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang menunggang Yamaha Y15
mengalami pendarahan dalam kepala pada kejadian itu.
"Selain itu, Nuraleya Syazreena turut patah tulang
pinggang kiri dan kanan manakala kandungannya yang berusia berusia lima bulan
disahkan meninggal dunia oleh doktor.
"Dia masih dirawat di wad kecemasan HTF bersama
suaminya yang patah tulang peha kaki kanan," katanya dihubungi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, ketika kejadian,
Nuraleya Syazreena menunggang motosikal berkenaan manakala suaminya, Muhammad
Danish Hakim Hanizam, 18, membonceng.
"Kejadian jam 3 pagi itu berlaku ketika pasangan
berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru,
Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis.
"Tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian, sebatang
pokok tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka," katanya.
Kedua-dua mangsa dibawa ke HTF Kangar untuk rawatan.
Kredit: Harian Metro
0 Comments