1,000 orang keracunan makanan kerana kimchi tercemar norovirus


Seoul: Kira-kira 1,000 orang di Korea Selatan mengalami keracunan makanan yang dikaitkan dengan kimchi yang tercemar dengan norovirus, lapor BBC.

 

Pegawai di Namwon City, di barat daya negara itu, mengumumkan pada Jumaat bahawa terdapat 996 kes yang disahkan walaupun laporan media tempatan mengatakan jumlah itu meningkat kepada 1,024 kes pada petang Sabtu.

 

Pihak berkuasa berkata, hidangan kubis yang ditapai popular itu diedarkan kepada mereka melalui hidangan di sekolah di bandar berkenaan.

 

Ia menambah bahawa pelajar dan kakitangan dari 24 sekolah adalah antara pesakit mengalami muntah, cirit-birit dan sakit perut.

 

Norovirus menular dan boleh dijangkiti melalui sentuhan permukaan yang tercemar seperti pemegang tandas dan daripada orang yang sudah dijangkiti.

 

Kebanyakan mangsa pulih dalam beberapa hari tanpa memerlukan rawatan di hospital.

 

Pegawai Namwon City berkata, ia memulakan siasatan epidemiologi untuk mendedahkan punca penyakit itu pada Rabu, selepas kes pertama dilaporkan pada hari sebelumnya.

 

Sejak itu, jumlah kes meningkat dengan cepat daripada 153 pada Rabu, kepada 745 pada Khamis.

 

Pegawai bandar berkata norovirus dikesan dalam kalangan pesakit, melalui sampel persekitaran dan dalam beberapa kimchi yang kerap dihantar ke sekolah.

 

Akibatnya, jabatan bencana dan keselamatannya menggantung sementara pengeluaran dan penjualan mana-mana produk daripada syarikat yang membuat kimchi itu yang juga sedang dalam proses menarik balik produk yang diedarkan, secara sukarela.

 

Firma yang mengeluarkan kimchi itu masih belum dinamakan secara rasmi.


Post a Comment

0 Comments