Dari punya masalah kesihatan mental, kini menjadi pendakwah muda yang popular

 


Kuala Lumpur: Mempunyai pengikut di Instagram mencecah 473,000 dan 1.1 juta pengikut di Tiktok.


Nama Fatin Nabila bukan asing dalam kalangan pengguna media sosial berikutan mempunyai pesona suara dan cara penyampaian dakwah cukup menenangkan.


Lebih mesra disapa Fatin, dia mempunyai latar belakang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mula aktif di media sosial berkongsikan perihal dakwah sejak 2021.


Baginya kesan memahami ayat Allah SWT atau Tadabur bukan sahaja mampu memberi ketenangan kepada jiwa malah membentuk peribadi manusia ke arah lebih baik.


Fatin berkata, segala-galanya bermula apabila dia mempunyai masalah kesihatan mental sejak di universiti apabila disahkan mengalami kebimbangan melampau sehingga perlu mendapatkan rawatan.


"Ketika saya mengalami masalah kesihatan itu, kehidupan saya sebagai pelajar terganggu kerana sentiasa mengalami ketakutan sepanjang masa. Saya buntu untuk merawat masalah mental ini.


"Sehinggalah saya diperkenalkan dengan tadabur membabitkan surah pertama ialah surah Al-nas yang tersirat pelbagai rawatan rohani yang banyak membantu saya mengembalikan kesihatan mental," katanya.


Jelasnya, bermula dengan memahami surah Al-nas dan melihat perkembangan positif kepada kesihatan mental, dia terus menimba ilmu dengan guru berpengalaman untuk tadabur ayat al-Quran yang lain dan memahami ajaran Islam lebih mendalam.


"Pada 2021 saya mula berkongsi ilmu dakwah yang diperoleh daripada guru-guru saya menerusi media sosial. Tidak sangka ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga maya.


"Saya gemar untuk mengaitkan kehidupan dan bagaimana agama boleh membantu kita untuk menjadi insan yang kuat berdepan dengan cabaran termasuk masalah kesihatan mental yang pernah saya lalui," katanya.


Tambahnya, dia mengakui pesonanya di dalam menyampaikan dakwah adalah menerusi suara yang tenang ketika menyampaikan kata-kata motivasi atau peringatan kepada pengikut di media sosial.


"Di media sosial saya mempunyai pelbagai latar belakang pengikut dan tidak boleh dinafikan kebanyakannya adalah golongan muda yang sebenarnya mempunyai minat begitu mendalam untuk memperbaiki diri menerusi Islam.


"Saya juga terus mempromosikan tadabur terutama pada Ramadan dengan mengadakan kelas secara atas talian dengan bimbingan guru-guru tadabur yang berpengalaman. Ia juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari hari ke hari," katanya.


Jelasnya, bagi memastikan setiap perkongsian ilmu dakwah yang ingin disampaikan tepat, dia sentiasa merujuk kepada guru-guru yang berpengalaman.


"Untuk berdakwah ini bukan sesuatu yang mudah kerana kita perlu mempunyai ilmu. Jadi, apabila saya ingin menyampaikan sesuatu dakwah, pastinya perlu mendapat bimbingan daripada guru yang betul.


"Selain daripada itu, saya juga gemar untuk memberikan kata-kata motivasi, peringatan dan doa-doa yang boleh dijadikan amalan harian," katanya.


Post a Comment

0 Comments