9 jam bawa turun wanita cedera jatuh gaung Gunung Korbu

9 jam bawa turun wanita cedera jatuh gaung Gunung Korbu

 

Bomba mengambil masa hampir 9 jam membawa turun wanita yang mengalami kecederaan pada tulang rusuk akibat terjatuh gaung sedalam 10 meter ketika wanita terbabit menuruni puncak Gunung Korbu di trek pendakian melalui Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, semalam. - Foto Bomba Perak


IPOH: Bomba mengambil masa hampir 9 jam untuk membawa turun seorang wanita yang mengalami kecederaan tulang rusuk akibat terjatuh gaung sedalam 10 meter ketika menuruni puncak Gunung Korbu di trek pendakian melalui Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, semalam.


Wanita seberat 90 kilogram (kg) itu berjaya dibawa keluar dari kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) itu jam 1.30 pagi tadi sebelum diserahkan dibawa pasukan perubatan untuk diberi rawatan lanjut di hospital.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya difahamkan mangsa adalah antara 35 peserta yang mengikuti ekspedisi pendakian gunung terbabit dengan diiringi lima malim gunung Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).


Katanya, operasi menyelamat digerakkan bermula jam 4.20 petang semalam sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.29 petang dengan operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bersama 12 anggota serta turut dibantu malim gunung.


"Mangsa menyertai aktiviti mendaki didapati tergelincir dan jatuh dalam gaung sedalam 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu. Jarak dari pangkalan (pos operasi) ke tempat kejadian dianggarkan tiga kilometer dengan laluan trek mendaki serta curam dianggar mengambil masa dua hingga empat jam perjalanan.


"Size-up dibuat dengan kelengkapan menyelamat dibantu beberapa orang malim gunung, seterusnya bergerak ke lokasi kira-kira jam 4.20 petang bagi membuat kerja penyelamatan," katanya dalam kenyataan.


Beliau juga berkata, antara kesukaran yang dihadapi dalam operasi menyelamat itu adalah pendakian waktu gelap melalui lereng, perlu menempuh tiga anak sungai, jalan licin atas faktor hujan dalam pada perlu membawa peralatan termasuk pengusung.


"Cabaran lain adalah tiada talian telefon di lokasi, dengan jarak paling hampir untuk berhubung menggunakan telefon adalah 2 jam kearah keluar atau satu setengah jam kearah mendaki dari lokasi mangsa.


"Mangsa dikatakan jatuh sewaktu melintas dengan memeluk kayu balak yang tumbang di tebing sungai. Difahamkan, lokasi itu memang sudah berulang kali berlaku kes jatuh," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments