Suka buat kerja murni, rupanya Mansor Puteh direkodkan derma darah sebanyak 631 kali

 


Pengarah dan pengkritik filem Mansor Puteh rupa-rupanya merupakan seorang bekas penderma darah tegar ketika hayatnya.


Pusat Darah Negara (PDN) mendedahkan Allahyarham pernah menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hidupnya.


“Al-Fatihah... Pusat Darah Negara mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mansor Puteh yang telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Julai 2024.


Mansor meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.


“Allahyarham merupakan seorang bekas penderma darah dan telah menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hayatnya.


“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis kenyataan berkenaan.


Perkara itu dikongsi pihak PDN menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.


Pada pagi Ahad, Mansor, 71, maut selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Identitinya dikesan pihak berkuasa menerusi lesen memandu yang ditemui ditempat kejadian.


Anak saudara Allahyarham yang juga bekas wartawan program Melodi, Adeed Adillah Abdullah turut mengesahkan pemergian Mansor di Facebook.


Foto kereta dipercayai milik Mansor selepas berlaku kemalangan.


Jenazah dijangka dibawa ke Melaka untuk proses pengebumian.


Untuk rekod, Mansor merupakan pengarah filem berjudul Seman pada 1988 dan pernah menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.


Mansor yang berkelulusan dari Universiti Columbia di New York juga terkenal dengan kelantangannya mengkritik filem dan industri seni tempatan.


Post a Comment

0 Comments