KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Datuk Aishah, 59, mendedahkan pernah berdepan pengalaman gangguan mistik sepanjang kerjanya selama lebih empat dekad dalam industri muzik.
Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, dia enggan lagi menyertai mana-mana program realiti selepas melalui pengalaman berkenaan.
"Dari pengalaman, sudah semestinya ya. Saya terlalu menderita, mujur tak masuk Unit Rawatan Rapi (ICU). Kalau cerita pun orang anggap tak betul, susah nak cerita soal mistik ini.
"Benda tak sahih, tak jadi depan mata dan tiada sijil mengatakan ini adalah sakit. Tapi, saya pernah alami," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Di Pinggir Kayangan, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang diberikan nafas baharu di Restoran Rebung, di sini, hari ini.
Mengulas sama ada serik menyertai program realiti, Aishah turut mengiyakan.
"Tidak, jika dalam Malaysia," katanya ringkas.
Kongsi lanjut, Aishah berkata, dia boleh menghasilkan buku khusus bercerita mengenai pengalamannya berdepan gangguan mistik.
"Sebenarnya, kena ubah mentaliti sekarang. Dunia sudah maju, tapi mentaliti masih di belakang.
"Kalau nak masuk bertanding, bersaing secara fizikal menerusi kebolehan, bakat yang Allah kurniakan. Kena ada keyakinan, bila sudah bercampur baur begini, letih.
"Sedih bila saya tahu benda ini terjadi, tapi kalau saya cerita jadi panjang. Saya boleh tulis buku mengenai pengalaman selama jadi penyanyi. Tiada pula podcast yang ajak saya bercerita soal ini.
"Cuma, bila bercerita sangat, ada yang tak percaya, ada pula yang sinis. Tapi, siapa yang kena sahaja tahu.
"Siapa terserempak dengan saya pergi berubat dan sebagainya, mereka tahu. Nak cerita pun susah sebab saya tak tahu siapa musuh, mungkin ada 'spy'.
"Apa penyakit mistik yang tak pernah saya rasa. Santau, busung dan turun darah berbulan-bulan, itu semua saya sudah lalui sejak usia 16 tahun. Tapi, Allah tunjukkan kepada penghantar sihir, masa saya ada lagi," katanya.
Berkongsi dengan lagu Di Pinggir Kayangan, Aishah berkata, dia memilih lagu berkenaan dirakam semula kerana meminati karya dan nyanyian idolanya, selain mahu generasi muda mengenali lagu lama yang berkualiti.
"Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara dan pernah berpeluang berkongsi pentas bersama arwah.
"Di Pinggir Kayangan adalah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan lenggok kemelayuan sangat merdu.
"Lagu seperti Di Pinggir Kayangan adalah karya yang harus diperkenalkan kepada generasi baharu. la begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada arwah yang juga idola saya.
"Tapi, akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan suara saya juga berbeza daripada penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan versi asal.
"Semoga lagu seperti Di Pinggir Kayangan akan mendapat tempat di hati pendengar. Bila dapat menghayati lagu lama barulah dapat kemajuan mencipta lagu baharu," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments