Bangunan sekolah runtuh ketika murid duduki peperiksaan, 21 maut

Bangunan sekolah runtuh ketika murid duduki peperiksaan, 21 maut


Jos, Nigeria: Sekurang-kurangnya 21 orang yang kebanyakan murid sedang menduduki peperiksaan terbunuh selepas bangunan dua tingkat sebuah sekolah di Nigeria runtuh, pada Jumaat, kata Palang Merah dan saksi.


Kejadian berlaku di Saint Academy, daerah Jos bahagian utara negara itu.


Murid yang terperangkap menangis meminta tolong di bawah runtuhan, manakala ibu bapa terdesak mencari anak masing-masing, kata wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian.


Pasukan penyelamat cuba menyelamatkan mangsa menggunakan jentera berat dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai berkumpul di sekitar bangunan konkrit yang runtuh dan timbunan serpihan.


Jurucakap Palang Merah, Nuruddeen Hussain Magaji memberitahu AFP, terdapat 21 yang maut, manakala 69 lain cedera dan dimasukkan ke beberapa hospital.


Terdahulu, wartawan AFP menyaksikan 16 mayat di dua bilik mayat hospital di Jos, yang semuanya memakai pakaian sekolah.


Seorang murid yang cedera yang ditemani ibu, Wulliya Ibrahim, 15, memberitahu AFP, "Saya baru masuk kelas tidak lebih lima minit apabila mendengar satu bunyi, kemudian saya sedar sudah berada di sini (hospital).


"Ketika itu ramai berada dalam kelas, kami sedang menduduki peperiksaan," katanya.


Terdahulu, Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan berkata bangunan dua tingkat di Saint Academy runtuh membunuh 'beberapa pelajar'.


Seorang penduduk, Chika Obioha memberitahu AFP, dia melihat sekurang-kurangnya lapan mayat di lokasi kejadian, dan berpuluh-puluh lagi cedera.


"Semua orang membantu untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa," katanya.


Wartawan AFP berkata dia melihat 11 mayat di bilik mayat di Bingham University Teaching Hospital dan lima lagi dibawa ke bilik mayat di Our Lady of Apostles Hospital di Jos.


Sekurang-kurangnya 15 orang diselamatkan dirawat di hospital itu, kata pegawai di Hospital Our Lady of Apostles , manakala pegawai di Bingham University Teaching Hospital enggan mengulas.


Sehingga kini, punca runtuhan belum dapat dipastikan, namun penduduk berkata ia berlaku selepas tiga hari hujan lebat.


"Kami sangat sedih dengan kehilangan tragis nyawa murid masih muda di Saint Academy," wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Nigeria Cristian Munduate di X.


"Anak-anak yang memiliki banyak impian sedang menduduki peperiksaan ketika bangunan sekolah runtuh, takziah kepada keluarga mangsa terjejas," katanya.


Kejadian bencana bangunan adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika kerana penguatkuasaan piawaian pembinaan yang lemah, kecuaian dan bahan berkualiti rendah.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments