GAZA: Seorang bayi berjaya 'dibawa' keluar dengan selamat dari rahim ibunya yang sudah meninggal dunia, di sebuah hospital di Gaza.
Menurut pihak hospital Al-Awda, wanita itu, Ola Adnan Harb al-Kurd, meninggal dunia akibat serangan peluru berpandu Israel yang dilaporkan mengorbankan 24 penduduk termasuk enam sekeluarga.
Pakar bedah, Akram Hussein, berkata wanita hamil itu berada dalam keadaan nazak ketika tiba di hospital.
"Wanita itu tidak dapat diselamatkan, namun doktor mengesan degupan jantung bayi melalui ultrasound.
"Rentetan itu, pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan bayi itu, yang dinamakan Malek Yasine, daripada rahim ibunya," katanya kepada AFP.
Sementara itu, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Al-Awda, Raed al-Saudi, berkata bayi yang baharu lahir itu pada mulanya berada dalam keadaan kritikal, namun kini stabil selepas menerima oksigen dan rawatan perubatan.
Beliau berkata, bayi itu kemudiannya dimasukkan ke dalam inkubator sebelum dipindahkan ke Hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah.
Ola Adnan adalah antara tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza. Serangan itu turut mencederakan suaminya.
Sehingga kini, Israel belum mengesahkan serangan itu, namun menurut kenyataan dari tentera, anggotanya sedang mengaktifkan serbuan yang disasarkan di tapak infrastruktur pengganas di tengah Gaza.
Peperangan di Gaza menyebabkan risiko terhadap kelahiran bayi, dengan ibu mengandung berdepan kekurangan akses kepada kemudahan kesihatan selain kekangan memperoleh makanan berzat, kebersihan dan sumber air bersih.
Menurut badan sukarelawan kemanusiaan, sebahagian hospital kecil juga terjejas kerana tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit.
'Doctors Without Borders' mendedahkan risiko bersalin pra-matang dan komplikasi ibu, termasuk eklampsia, pendarahan dan sepsis, semakin meningkat.
Kredit: Berita Harian
0 Comments