Rezeki kesihatan itu 'mahal'. Apatah lagi, tidak kira pada usia muda atau sudah ke tahap warga emas, kehadiran pelbagai penyakit yang 'singgah' di tubuh badan selalunya jarang disedari.
Pada ketika ini, kebanyakan golongan selebriti tanah air berhadapan penyakit seperti kanser, angin ahmar, kolestrol tinggi, gangguan mental, kencing manis, diabetes, lemah jantung dan sebagainya.
Semestinya, keadaan kesihatan ini berkait rapat dengan amalan gaya hidup iaitu mungkin tidak menjaga pemakanan, kurang bersenam, stres dan masalah kehidupan seperti bebanan kewangan.
Apapun, yang pasti masih ramai golongan selebriti kita menjaga kesihatan diri terutama mereka yang kini berstatus warga emas selain golongan muda dengan berkongsi kaedah kekal sihat selain selalu berdoa mohon kepada Tuhan.
Justeru, ikuti perkongsian amalan kesihatan dilakukan sebagai rutin oleh antaranya Che Puan Sarimah Ibrahim, Afieq Shazwan selain tiga figura veteran berkaliber iaitu Helmi Gimmick, Margaret Gan dan Kenji Sawahi yang sudah dipraktikkan sejak di usia muda masing-masing.
HELMIC GIMMICK banyak minum air suam, amal makanan sunnah
Apabila sudah berusia emas semestinya kesihatan penting dijaga dan bagi pengacara juga artis komedi berkaliber, Helmi Gimmick, 63, mengakui dia lebih utamakan 'mencegah dahulu sebelum kena'.
Helmi atau nama sebenarnya, Helmi Harun berkata, dia bagaimanapun bersyukur tahap kesihatannya masih baik hingga kini dan Allah jauhkan daripada penyakit 'tiga serangkai' yang selalu dihidapi golongan warga emas seusianya.
"Pada usia yang sudah mencecah 63 tahun ini, memang saya kena menjaga kesihatan diri dengan memastikan rutin pemakanan harian yang sihat dan rajin bersenam. Untuk saya, tak dinafikan sangat menjaga kesihatan sejak dulu.
"Ketika usia muda lagi sebenarnya, saya sudah jaga pemakanan saya dengan tidak langsung minum air bergula, air gas dan sebagainya yang berkaitan. Saya pastikan banyak minum air suam dan amalkan pengambilan makanan sunnah seperti minyak zaitun dan habbatussauda.
"Pada masa sama, saya juga gunakan produk kesihatan yang dikeluarkan syarikat saya, termasuk juga pengambilan suplemen sesuai untuk badan dan tenaga. Tujuannya, saya fikir untuk diri sendiri nak sihat dan kena berusaha ke arah itu (jaga kesihatan)," katanya.
Helmi yang mempunyai empat cahaya mata dan datuk kepada tiga cucu berkata, kesedaran pentingnya menjaga kesihatan perlu ada pada diri sendiri, selain banyak berdoa kepada Allah agar sentiasa menganugerahkan kesihatan yang baik kepada kita.
MARGARET GAN pilih hidangan rebus, buat pemeriksaan kesihatan
Pelakon veteran, Margaret Gan, 81, mengakui dia mula menjaga pemakanan sejak usia muda ketika remaja dengan mengutamakan makanan bersup dan rebus termasuk kurang makan daging berbanding ayam serta ikan.
Ibu seorang cahaya mata ini berkata, sebagai orang Cina sememangnya dia lebih suka makan hidangan rebus seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam berbanding masakan goreng yang berminyak dan pedas.
"Saya tak cerewet makan pun, tapi biasalah kalau membesar dalam keluarga Cina, memang saya sudah terbiasa makan makanan bersup dan rebus-rebus saja. Saya kurang ambil minyak dan kalau makan yang rebus pun macam sayur, ikan dan ayam.
"Hidangan berdaging juga saya kurang ambil. Tapi, Alhamdulillah syukur kepada Allah apabila Dia masih menganugerahkan kesihatan yang baik untuk saya. Selain itu, saya juga aktif berjalan kerana bersenam untuk sihat.
"Tidak hanya itu, anak akan bawa saya melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun di klinik kesihatan bagi mengesan penyakit di peringkat awal. Maklumlah, saya dah warga emas walaupun pemakanan dijaga," katanya.
Margaret berkata, dia juga jenis tidak boleh duduk diam dan aktif menghadiri majlis anjuran persatuan disertainya jika ada jemputan, termasuk boleh lagi memandu kereta untuk jarak yang dekat dari rumah kerana tidak mahu 'skill' pemanduan hilang.
Pemilik nama sebenar, Gan Ee Kek ini memeluk Islam pada 15 Februari 2022 di usia 79 tahun, sekali gus merealisasikan impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 39, yang sentiasa berdoa ibunya mendapat hidayah Allah.
KENJI SAWAHI jaga makan, rajin bersenam
Pelakon drama dan filem, Kenji Sawahi, 61, yang masih segak hingga kini tidak menafikan dia amat menjaga kesihatan dengan penjagaan pemakanan yang konsisten dan bersenam setiap hari.
Kenji yang masih bujang berkata, rezeki tidak putus dalam lakonan membuatkan dia perlu sentiasa sihat dan sebagai warga emas sudah pasti wajar mengutamakan penjagaan kesihatan diri berikutan sekarang pun ada banyak penyakit.
"Syukurlah hingga kini saya sihat serta tiada penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Ini kerana, saya memang jaga pemakanan harian dan bersenam untuk kesihatan setiap hari.
"Saya pastikan bersenam dalam tempoh masa mengikut kemampuan diri dan itu dilakukan bagi menjaga stamina. Lagi pun, saya tidak suka orang panggil warga emas walaupun memang saya sudah berumur.
"Sebabnya, saya merasakan diri masih kuat, sihat, bertenaga, aktif dan boleh bekerja. Jadi, dalam situasi sekarang saya bersyukur kerana Tuhan masih berikan kesihatan baik dan kena jagalah," katanya.
Kenji atau nama sebenarnya, Lim Boon Wah berkata, walaupun usia hanya angka, namun penting baginya untuk memastikan juga kesihatan mental dan emosi terjaga dengan sentiasa berfikir yang baik-baik dan positif.
CHE PUAN SARIMAH rutin makan sedikit tetapi kerap
Meskipun kini berusia 45 tahun, namun pengacara juga pelakon jelita, Che Puan Sarimah Ibrahim sangat menjaga kesihatan dirinya dengan mengamalkan pengambilan kuantiti makanan sedikit tetapi kerap sebagai rutin harian.
Selebriti wanita yang meledak dengan drama Lelaki Itu di TV3 sebagai watak Sharifah Qaidah ini berkata, dia memang sudah terbiasa makan dengan portion yang kecil sebab mudah berasa kenyang.
"Setiap hari saya makan sedikit saja, tetapi kena keraplah. Mungkin beberapa hidangan sehari seperti sarapan pagi, biasanya saya akan makan omelette. Begitu juga hidangan sama (omelette) untuk diambil di tengah hari.
"Manakala nasi pula saya ambil juga cuma dua atau tiga suap berserta sayur. Bagi minum petang dan makan malam, saya hanya makan sajian yang mempunyai protein seperti ayam dan sebagainya, setiap hari," katanya yang turut mengamalkan banyak minum air kosong.
Disebabkan jadual kerja seni yang kini padat, Sarimah berkata, dia juga ke gimnasium untuk bersenam bagi memastikan stamina diri sentiasa terjaga serta mendapatkan tidur yang cukup untuk tenaga bekerja di hari berikutnya.
AFIEQ SHAZWAN 'kaki' gimnasium untuk bersenam
Kesibukan bekerja dengan jadual padat diakui tidak menjadi halangan buat pelakon, penyanyi dan pengacara Afieq Shazwan, 27, mencari masa ke gimnasium untuk bersenam.
Pemilik nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros ini berkata, dia aktif ke gimnasium untuk bersenam kerana menjaga kesihatan sejak sembilan tahun lalu, berikutan mengamalkan diet seimbang.
"Saya tak nafikan tubuh badan tak nampak 'sado' pun, tapi itu bukan matlamat utama saya. Tujuan saya ke gimnasium hanya untuk bersenam bagi menjaga stamina diri.
"Macam yang diketahui, saya aktif sebagai pengacara, pelakon dan penyanyi, jadi kena ada stamina yang cukup. Kalau kurang bersenam dan amalkan diet seimbang, cepatlah 'pancit' terutama ketika menyanyi sambil menari.
"Selain itu, apabila bersenam saya dapat tahu kadar pengambilan kalori atau tenaga. Contoh, jika dalam seminggu saya dah banyak bersukan seperti main futsal dan badminton, saya kurangkan masa di gimnasium," ujarnya.
Afieq berkata, pemilihan jenis makanan juga berbeza kerana apabila aktif bersukan pasti memerlukan banyak tenaga dan untuk sarapan paginya dia selalu makan roti putih atau beberapa biskut tanpa gula sebelum ke gimnasium.
0 Comments