Pegawai MAQIS menunjukkan daging lembu korban seberat 20kg yang dibawa dari Bangladesh dirampas di laluan ketibaan LTSIP |
Kota Bharu: Daging lembu korban yang dibawa dari Bangladesh dengan alasan untuk diberikan kepada keluarga dirampas sebaik tiba di balai ketibaan di ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dekat sini, baru-baru ini.
Daging lembu seberat 20 kilogram (kg) itu disimpan di dalam bekas polisterin sebelum pasukan Penguasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan berjaya mengesan barangan itu ketika imbasan dibuat.
Pengarah Maqis Kelantan, Syed Fuad Syed Putra berkata, pemeriksaan dibuat pada 6 petang 26 Jun lalu di laluan ketibaan di LTSIP.
"Daging lembu itu dibawa dari Bangladesh oleh seorang penumpang warga negara itu dan ditemukan disorok dalam kotak polisterin serta tidak mempunyai permit yang sah.
"Lelaki berusia 40-an itu memberitahu ia adalah daging korban dan ingin memberikannya kepada keluarganya yang menetap di Rantau Panjang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Syed Fuad berkata, daging lembu yang dianggarkan bernilai RM600 itu dirampas untuk tindakan lanjut.
Menurutnya lagi, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) ke negara ini, seterusnya merosakkan industri penternakan negara.
"Perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa Permit Import yang sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1),Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta sama.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
0 Comments