Dua beradik kritikal termakan keropok ada racun tikus


KULIM - Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi Labu Besar dekat sini pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, keropok berkenaan dipercayai digantung oleh pekebun kampung pada dawai besi di sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi selepas ibu mereka yang berusia 25 tahun menyedari kedua-dua anaknya yang berusia dua dan tiga tahun mengalami muntah-muntah dan mulut berbuih.


"Pada jam lebih kurang 11.30 pagi ibu mereka terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim untuk rawatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.


"Pada jam 7.30 malam kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.


Mohd Azizul berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen Sek 284 Kanun Keseksaan.


Kredit: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments