FAM berpotensi berdepan hukuman daripada FIFA

FAM berpotensi berdepan hukuman daripada FIFA


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpotensi berdepan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika gagal menghentikan isu berulang masalah tunggakan gaji pemain dalam Liga Malaysia (Liga M).


Amaran itu dilontarkan pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berikutan kes terbaru kapten Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue yang dilaporkan tidak dibayar gaji sejak Disember 2023.


Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad, Penaung KL City FC Fahmi Fadzil dan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Safee Sali sudah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai perkara itu.


Pekan memaklumkan, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur Liga M, perlu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum FIFA mengambil tindakan terhadap Malaysia.


Beliau berkata, isu tunggakan gaji dalam Liga M sudah banyak kali terjadi dan ia boleh membawa kesan negatif kepada Malaysia di peringkat antarabangsa.


"Keadaan Liga M semakin buruk dan ia membimbangkan. Melainkan tindakan segera dan tegas diambil oleh pihak berkepentingan dalam liga dan FAM. Kita berisiko berdepan sekatan daripada FIFA susulan masalah pembayaran gaji tidak dapat diselesaikan.


"Krisis ini juga menjejaskan keupayaan kita untuk menarik pemain asing pada musim akan datang yang mana memberi impak kepada pasukan seperti Johor Darul Ta'zim, Terengganu dan Selangor.


"Walaupun pasukan itu tidak terbabit dengan masalah berkenaan, tetapi masih berisiko menerima tempias kerana reputasi liga yang tercalar," kata Pekan.


Pekan menganggap masalah tunggakan gaji seperti luka yang bernanah dan tidak dirawat yang mana menjejaskan masa depan Liga M.


Menurut peraturan FIFA, negara anggota boleh digantung kerana salah urus kewangan.


Baca juga: Pan-gon letak jawatan jurulatih Harimau Malaya

Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments