Fuad dan Tom impikan anak bergelar ustazah

Fuad dan Tom impikan anak bergelar ustazah


KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Fuad Rahman dan Tom sepakat menerapkan didikan agama terbaik buat puteri sulung, Anggun.


Fuad berkata, dia dan Tom mahu anaknya yang kini berusia lima bulan itu mendapatkan pendidikan terbaik dan mampu bergelar ustazah pada masa hadapan.



"Keutamaan untuk anak adalah pelajaran dan saya juga mahu terapkan dengan asas agama. Sasaran untuk masa hadapan, saya mahu anak jadi ustazah.


"Saya memang dilahirkan sebagai pemuzik dan keluarga juga dalam bidang ini. Keluarga juga memang mengutamakan agama. Jadi, saya juga mahu jadikan anak seorang yang baik," katanya.


Bagaimanapun, Fuad tidak menolak sekiranya anaknya mahu terbabit dalam bidang muzik sepertinya dan Tom.


"Saya mahu anak lebih fokus agama dan saya mahu ajar pendidikan agama. Tapi, bila besar hendak jadi penyanyi dan bermain muzik boleh teruskan, tapi paling penting, pelajaran perlu seiring," katanya.


Sementara itu, Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, dia mula mendapat kesedaran untuk lebih menekankan aspek agama selepas berkahwin dengan Fuad.




"Sebelum ini, saya tak banyak titik beratkan agama dan tak berapa ambil berat. Bila berkahwin dengan Fuad saya banyak belajar perkara yang tak pernah tahu.


"Muzik adalah muzik, tapi saya mahu anak-anak tahu mengenai agama. Kalau boleh saya mahu sangat anak jadi ustazah. Mungkin saya bukan seperti itu, mana tahu anak ada rezeki ke arah lebih baik.


"Sebab dulu saya tak ambil peduli soal agama. Dulu saya banyak tak tahu dan sekarang dapat banyak belajar daripada Fuad.


"Jadi, saya mahu anak-anak juga mendapat kebaikan bersama," katanya ditemui selepas menjayakan Konsert Rockestra Lagenda di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini, semalam.


Pada 18 Februari lalu, Tom selamat melahirkan cahaya mata perempuan secara pembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, kira-kira jam 2.30 pagi.


Tom dan Fuad berkahwin di Batam, Indonesia pada 23 Februari tahun lalu. Pasangan ini pernah menjalinkan hubungan cinta pada 2005, namun ikatan terputus, lima tahun kemudian.


Hubungan Fuad dan Tom kembali bertaut selepas terbabit dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada 2022.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments