Gandingan duet bersama P.Ramlee, Nona Asiah meninggal dunia di Singapura


KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Nona Asiah, 94, meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH), Singapura akibat pelbagai komplikasi kesihatan, jam 4.25 pagi tadi.


Media tempatan melaporkan, berita pemergian penyanyi popular era 1950-an itu disahkan anak bongsunya, Indra Shahrir Ismail.


Indra memaklumkan arwah mendapatkan rawatan di hospital sejak dua bulan lalu berikutan masalah buah pinggang, paru-paru dan jantung.


Katanya, dia menjadi satu-satunya anak berada di sisi sebelum arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.


Jenazah kini berada di kediaman dan dijangka akan dikebumikan esok kerana menunggu kepulangan anak dan cucu yang berada di Australia.




Bakat seni Nona Asiah atau nama sebenarnya, Asiah Aman mula berputik sejak menjadi penyanyi latar untuk filem keluaran Shaw Brothers (MFP) dan Cathay Keris Malay Films.


Beliau juga pernah mendalami seni muzik dan nyanyian di bawah bimbingan komposer Allahyarham Pak Zubir Said.


Mesra disapa Mak Nona, arwah merakam lagu ke piring hitam pada 1949 iaitu Ciumku Lagi, lagu saduran, Besame Mucho dari Mexico yang menjadi malar segar dan Bunga Sakura (lagu Jepun) sebagai pembuka tirai kerjaya seninya.


Antara lagu popularnya termasuklah Manusia Miskin Kaya, Jikalau Abang Merindu, Dunia Asmara dan Ingin Tahu.


Video Lagu Raya Miskin Kaya:


Selain berbakat dalam bidang seni, ibu kepada lima cahaya mata itu juga berkemahiran dalam bidang jahitan dan busana wanita.


Sentuhannya itu pernah digayakan nama-nama besar industri, antaranya Biduanita Negara, Allahyarham Puan Seri Saloma, Allahyarham Siput Sarawak, Allahyarham Kartina Dahari dan ramai lagi.


Pada 2018, satu usaha untuk mengabadikan sumbangan tidak ternilai Allahyarham kepada persada seni diabadikan dalam CD berjudul Legacy: The Musical Journey of Nona Asiah (Warisan: Perjalanan Muzik Nona Asiah) diterbitkan oleh The RICE Company Ltd, badan bukan untuk keuntungan dan anak syarikat kepada Global Cultural Alliance Ltd.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments