Kota Tinggi: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan yang kononnya parti itu menghalang empat individu tampil di pentas ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sebagai hanya surat layang.
Ahmad Zahid turut mengesahkan surat yang disebarkan itu sebagai palsu.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, BN mengalu-alukan semua pihak yang boleh memenangkan calonnya di Nenggiri, untuk membantu kempen dalam PRK berkenaan.
"Surat itu pun surat palsu, bermakna surat layang. Tidak ada kebenaran pun.
"Setakat ini kita mengalu-alukan semua pihak yang boleh memenangkan calon BN di Nenggiri," katanya selepas menyampaikan perutusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Desaru, di sini, hari ini.
Terdahulu, BN dilaporkan menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang kononnya menghalang empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli l, tampil di pentas ceramah pada PRK Dewan Undangan Negeri DUN Nenggiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, BN memaklumkan petikan seperti itu adalah mainan politik untuk memecah belahkan perpaduan di dalam kerajaan sekarang.
Ditanya mengenai sama ada pengumuman awal calon BN pada PRK Nenggiri memberi kelebihan pada parti itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pengumuman calon awal itu membolehkan calon parti mula turun ke akar umbi bagi menyantuni pengundi di kawasan itu.
Katanya, terdapat 20 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Nenggiri dengan parti sudah mengkoordinasikan pergerakan calon untuk pergi kesemua PDM berkenaan.
"Terdapat lima PDM Orang Asli dan untuk sampai kelima-lima agak sukar, namun kita susah mulakan kerja awal, maka ia akan memudahkan dalam tempoh kempen supaya jentera dapat pergi ke tempat lain pula.
"Terdapat sembilan PDM membabitkan kampung tradisional, lima PDM di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan satu PDM di bawah Felda, semuanya sudah diambil kira dan telah dilakukan penyelarasan jentera.
"Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang juga berbincang dengan saya mengenai pendekatan dan kaedah berkesan untuk kempen di kawasan berkenaan," katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments