Jamal Abdillah runsing rugi RM2 juta

Jamal Abdillah runsing rugi RM2 juta


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, 65, mendakwa kerugian RM2 juta akibat kegagalan syarikat pelaburan disertai membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.


Penyanyi legenda itu meminta kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat pelaburan berkenaan yang didakwa cuba lari daripada tanggungjawab.


Menurutnya, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun sehingga kini perkara ini belum difailkan di mahkamah.


"Sebelum itu, saya sudah buat semakan di Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati memang syarikat itu wujud kerana ramai membuat pelaburan dengan dijanjikan dividen antara lapan hingga 12 peratus setahun.


"Saya tertarik dan melabur kira-kira RM2 juta. Tahun pertama, kedua dan ketiga pembayaran dividen berjalan lancar. Masuk tahun keempat ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tak dapat nak bayar.




"Sampai sekarang sudah nak masuk tujuh tahun, ia masih belum selesai. Saya sudah buat laporan polis dan pegawai mengendalikan kes sudah bertukar antara tiga dan empat orang, tapi masih belum difailkan di mahkamah," dakwanya.


Jamal mendakwa, laporan dibuat di Bukit Aman dan Shah Alam tetapi masih tiada apa-apa tindakan dari Timbalan Pendakwa Raya (DPP).


"Sekarang tinggal lagi DPP yang akan failkan. Sudah masuk dua tahun, namun belum ada perkembangan lanjut.


"Jadi, saya harap pihak kerajaan tengoklah kes ini kerana ia seperti 'scammer'.


"Jangan dibiarkan begitu sahaja kerana ramai yang kena, bukan saya seorang sahaja. Hampir RM1 bilion mereka kutip termasuk syarikat besar. Sesetengah syarikat sudah terima semula deposit bila mereka failkan di mahkamah.


"Saya lewat sikit bertindak, namun harapan saya agar pihak kerajaan buka mata terhadap syarikat pelaburan yang ambil wang rakyat buat pelaburan kerana sudah melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Ia memang wujud. Jadi, apa tindakan selanjutnya dan DPP kenalah failkan segera," katanya.


Sementara itu, peguam Datuk Kamaruzaman Arif dari Tetuan Kamaruzaman Arif dan Sofiah yang mewakili Jamal berkata, penyanyi tersohor itu membuat laporan polis selepas mendakwa tidak mendapat pulangan pelaburan yang dijanjikan oleh ejen dan syarikat pelaburan disertai.


"Pada awal 2018, Jamal diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.


"Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.


"Pada 22 Januari 2018, Jamal membuat dua pelaburan di mana jumlahnya sebanyak RM1 juta. Tarikh matang bagi kedua-dua pelaburan ini ditetapkan pada 21 Januari 2023," katanya.


Menurutnya, jumlah pulangan bagi keseluruhan pelaburan RM1 juta ini sebanyak RM600,000.


Namun, katanya, sehingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma yang sudah dipersetujui.


"Pada 2020, Jamal membuat dua lagi pelaburan bertarikh 1 Januari dan 23 Januari di mana jumlahnya sebanyak RM1 juta.


"Namun, syarikat pelaburan terbabit juga gagal membayar perjanjian pulangan tahunan bagi pelaburan yang sudah dilakukan.


"Jamal menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan disebabkan keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan COVID-19," katanya.




Bagaimanapun, semakan dibuat ke atas akaun dan prestasi kewangan syarikat dipercayai mereka sudah mendapat keuntungan dalam tempoh material dan bukan kerugian.


"Sehubungan itu, katanya, Jamal kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Post a Comment

0 Comments