Josue buat kerja amal, 7 bulan tanpa gaji

Josue buat kerja amal, 7 bulan tanpa gaji

 


Kuala Lumpur: Jika ada anugerah pemain paling malang pada musim ini sudah pastinya tonggak naturalisasi negara Paulo Josue sebagai calon terbaik untuk memenanginya.


Hal ini kerana, Josue mendedahkan dia sebenarnya beraksi secara 'percuma' selama tujuh bulan bersama Kuala Lumpur City (KL City) FC tanpa menerima gaji bulanan.


Pemain berasal dari Brazil itu berkata, dia boleh dikatakan sudah lupa bila kali terakhir menerima bayaran daripada pasukan terbabit sekali gus kini meneruskan kehidupan dengan hanya berbekalkan wang simpanannya.


"Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar pada Disember tahun lalu.


"Saya pernah berbincang bersama pengurusan KL City dan mereka berjanji untuk buat bayaran setengah bulan. Namun, itu semua janji palsu kerana mereka tidak pernah membayarnya.


"Ramai bertanya, sudah tujuh bulan (gaji tertunggak) mengapa masih bersama KL City lagi... Saya kekal kerana sayangkan pasukan dan sememangnya menyayangi karier sebagai pemain bola sepak profesional," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.


Mengikut rekod, sebelum ini KL City pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji namun dikatakan sudah diselesaikan oleh pengurusan pasukan terbabit.


Namun, baru-baru ini timbul pula di media sosial yang mengatakan KL City berhadapan tunggakan gaji sehingga tempoh lima bulan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada masalah terbabit sudah diselesaikan atau sebaliknya.


Sementara itu, pemain berusia 35 tahun itu juga sudah memmaklumkan kes membabitkan tunggakan gajinya kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.


"Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.


"Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku," katanya yang terpaksa berjimat untuk menampung kos perbelanjaan harian.


Sementara itu, usaha Arena Metro untuk mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC Stanley Bernard gagal apabila beliau tidak dapat dihubungi.


Post a Comment

0 Comments