Jurutera mengaku penat bekerja sebelum meninggal dunia

Jurutera mengaku penat bekerja sebelum meninggal dunia

 


Alor Setar: "Tak sanggup saya melihat video dan keadaan abang ketika kemalangan berlaku kerana kecederaan yang dialaminya sangat teruk," kata Aminuddin Ghazali, 25.


Dalam kejadian petang semalam, abangnya, Amirrudin, 38, meninggal dunia selepas digilis treler di Kilometer 161.4 Lebuh raya Utara Selatan (arah selatan) dekat Bandar Casia, Pulau Pinang, semalam.


Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Menurut Aminuddin, arwah adalah anak sulung daripada enam beradik dan kali terakhir bertemu pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.


Katanya, abangnya seorang yang baik dan lebih banyak mendiamkan diri ketika pulang cuti beraya baru-baru ini.


"Kami sekeluarga hanya tahu berita yang menimpa arwah melalui gambar di media sosial dan tahu itu adalah abang apabila melihat Mykad yang tertera nama dan alamatnya.


"Memang tak sangka itu adalah arwah abang sendiri namun mereka reda dengan pemergiannya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Aminuddin, abangnya yang bekerja sebagai jurutera kilang itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Bakap, Pulau Pinang selepas habis bekerja.


Katanya, arwah pernah memberitahu isterinya yang dia letih bekerja kerana dia banyak bekerja di luar negara.


"Dia baru pulang dari Vietnam minggu lalu atas urusan kerja dan sangat letih.


"Kami kehilangan abang yang sangat baik," katanya.


Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak.


Jenazah Amirrudin dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang sebelum dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Lubuk Kawah, Mukim Naga di Jitra untuk dikebumikan jam 3.30 petang hari ini.


Post a Comment

0 Comments