Hasil jualan hartanah milik Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini di Lorong Utara, Petaling Jaya sudah diagihkan kepada waris arwah mengikut hukum faraid.
Rakan baik merangkap penulis lirik dan editor Suria FM, Roslen Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan anak tunggal Allahyarham, Aliff Omar Ali, 42, ketika bertemu dengan jejaka berkenaan baru-baru ini.
“Harta peninggalan Allahyarham termasuk hasil jualan rumah itu juga telah diagihkan secara faraid kepada yang berhak kerana dia (Aliff) bukan pewaris tunggal.
Menurut Roslen yang akrab dengan arwah sejak bekerja di sebuah akhbar awal era 1990-an, Aliff turut mengakui sedar mengenai kekecewaan ramai apabila mengetahui kediaman ibunya dirobohkan.
Bapa kepada tiga anak itu mengambil keputusan menjual rumah mereka bagi meneruskan kehidupan mengikut keperluan keluarganya selain menguruskan segala harta peninggalan ibunya mengikut syariat Islam.
“Memang Aliff sayangkan rumah itu kerana ada banyak kenangan manis bahkan dia menyatakan masih teringat jeritan mummy (panggilan ibu) memintanya membantu mengemas walaupun perabot sudah elok tersusun.
Kongsi Roslen lagi, dia ada bertanya kepada Aliff mengenai saranan netizen menjadikan kediaman itu sebagai galeri atau muzium memandangkan banyak barangan memorabilia serta anugerah Allahyarham masih dalam simpanan warisnya.
Ahad lalu dilaporkan rumah agam berkeluasan 20,000 kaki persegi dilengkapi sembilan bilik tidur, tujuh bilik air dan lima ruang tamu itu sudah menyembah bumi sejak Mei lalu bagi memberi laluan kepada projek diusahakan pemilik baharu.
Daripada laporan awal, kediaman yang berada di pasaran hartanah sekitar 2018 pada harga RM8 juta itu bertukar tuan awal tahun ini dengan nilai belian didakwa separuh daripada kadar tawaran enam tahun lalu.
Rentetan pendedahan itu, ramai peminat dan pemerhati dunia hiburan tanah air meluahkan rasa terkilan apabila kediaman penghibur tersohor itu sudah bertukar tangan.
Tidak kurang menyarankan kerajaan mengumpul memoribilia dan anugerah hasil kerja keras Allahyarham sehingga menghasilkan 140 album di sebuah galeri seperti rumah Seniman Agung Tan Sri P Ramlee di Setapak.
Sharifah Aini yang lebih empat dekad menabur bakti dalam industri muzik tanah air menghembuskan nafas terakhir pada 5 Julai 2014, tiga hari selepas meraikan ulang tahun ke-61.
Hari ini , genap sedekad pemergian permata seni negara yang tiada tolok bandingan itu.
Putera tunggal arwah, Aliff yang juga bekas pelajar Islamic University of Madinah, Arab Saudi mendirikan rumah tangga dengan doktor gigi, Sharifah Nur Athirah Syed Azmi dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Hamzah, 9, Tasneem, 6, serta Marwah, 4.
Kredit: HibGlam
0 Comments