'Kehidupan di kampung rosakkan Mamat' - Musa Exists

'Kehidupan di kampung rosakkan Mamat' - Musa Exists




Kuala Lumpur: "Kami tidak pernah ketepikan Mamat, sebaliknya kita sentiasa sediakan pentas dan hanya menunggu dia saja sebagai penyanyi," kata pemain bass Exists, Musa Radhi, 51, mengenai penyanyi kumpulan itu, Mamat, 47, yang masih bergelut untuk bebas dari masalah dadah.


Baru-baru ini, Mamat yang berdepan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019 berjaya dalam rayuannya, namun dijatuhi hukuman denda RM4,000 serta dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.



Musa berharap semua peminat Mamat dan Exists akan terus mendoakan kebaikan untuk penyanyi itu berubah dan insaf bagi menjalani kehidupan lebih baik di masa depan tanpa terus dibelenggu dengan masalah dadah.


"Kami di dalam Exists iaitu saya, Ajai, Along dan Ujang selalu juga berusaha mencari dia. Kadang-kadang kami rasa macam mana lagi nak bantu dia supaya dia 'duduk sama rendah berdiri sama tinggi' dengan kami.


"Sebab, kalau dilihat daripada anggota-anggota Exists yang ada ini, dia paling diuji dengan ujian agak berat dan berulang-ulang. Apatah lagi, kita semua sudah berhijrah menetap di Kuala Lumpur dan dia seorang masih menetap di Johor," katanya kepada Harian Metro.


Musa berkata, kehidupan Mamat di sana sebenarnya makin merosakkannya.


"Ada seorang peguam pernah menasihatkan, kalau boleh bawa Mamat keluar dari kampungnya itu supaya 'kawan-kawan lamanya' tidak datang mencari lagi.


"Sebelum ini pun Ezad (penyanyi) pernah sama-sama dengan kita nasihatkan Mamat supaya dia sendiri kena kuat 'melawan' kalau ingin baik dan bebas daripada pengaruh benda itu," katanya.


Musa berkata, Mamat sukar untuk pulih apabila 'kawan-kawan lamanya' datang mencari semula di saat dia mungkin mula bersedia mahu mengorak kehidupan baharu.




"Saya faham, Mamat mungkin memilih hidup di kampungnya kerana ada rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapa, termasuk abang dan kakak yang tinggal berdekatan untuk menjaga dia.


"Tapi, sekarang rasanya sudah sampai masa untuk Mamat fokus kepada diri sendiri, kerjaya dan keluarganya. Namun, rumah tangga dia pun kita tahu sudah berantakan dan kasihan jugalah.


"Apatah lagi, Mamat yang saya kenal itu sudah aktif menyanyi sejak kanak-kanak untuk membantu menampung kehidupan keluarganya yang boleh disifatkan pengorbanan dibuatnya itu sangat besar," katanya.


Mamat adalah penyanyi asal Exists ketika mereka tampil dengan album sulung pada 1991 dan popular dengan lagu seperti Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan banyak lagi.


Mamat meninggalkan Exists pada 1994 untuk bergerak solo dan dia digantikan oleh Ezad.


Mamat mendirikan rumah tangga dengan Marshila Mustapha Kamal pada 2001 dan dikurniakan tiga anak. Namun, mereka bercerai pada 2009.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments