Kes diklasifikasi NFA, kami tiada kaitan dengan Edisi Siasat – Mamat Sepah

Kes diklasifikasi NFA, kami tiada kaitan dengan Edisi Siasat – Mamat Sepah


PETALING JAYA – Pelawak, Mamat Sepah memaklumkan bahawa kes mengaitkan dirinya dan isteri Nordiana Ibrahim diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).


Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Murad berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan beliau dan isteri tidak mempunyai kaitan dengan artikel yang tular di aplikasi Telegram Edisi Siasat.


“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan izinnya kes saya dan isteri diklasifikasikan sebagai NFA. Telefon bimbit kami dipulangkan pukul 11 pagi tadi oleh pegawai penyiasat kanan setelah tiga minggu dihantar ke Jabatan Forensik Bukit Aman.


“Tiada bukti ditemui di dalam telefon kami yang mengatakan kami adalah suspek yang ‘menularkan’ tentang isu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan Mamat mengesahkan dirinya dan isteri yang lebih dikenali sebagai Cik Nana ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan penyebaran makluman dalaman berkaitan IPD Shah Alam di aplikasi Telegram.




Dalam pada itu, Mamat berkata, beliau dan isteri juga telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan percaya polis sudah melaksanakan tugas dengan telus.


“Tiga hari saya dalam tahanan polis telah mmberi sejuta kenangan yang begitu luas dalam hidup walaupun ikan jaket dan tiga keping biskut sentiasa menemani saya.


“Saat digari bersama isteri untuk pergi (saringan air kencing) adalah satu kenangan terindah dalam hidup yang mungkin hingga akhir hayat saya tak akan lupakan,” jelasnya.


Tambah Mamat, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Fadhli Sutris dan Mohamad Zahid Ahmad yang memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh mereka direman. 


Kredit: Kosmo

Post a Comment

0 Comments