"Kesilapan itu saya lakukan masa muda, kalau sekarang mungkin lebih teruk" - Yassin Senario


KUALA LUMPUR: Pelawak Yassin Yahya, 46, menganggap kesilapan yang pernah dilakukan sebagai takdir yang tertulis.


Pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan pergaduhan sehingga mencalar imejnya di mata peminat, Yassin bagaimanapun meletakkan kesalahan itu ke bahunya sendiri.


Cuba melupakan segala kisah pahit masa lalu, pengalaman itu disifatkan cukup mematangkan dirinya.


"Kalau boleh saya tak mahu lagi mengingati kisah lama kerana apa yang penting adalah diri saya sekarang dan masa depan.


"Bagaimanapun, saya bersyukur kesilapan berlaku pada usia muda, kalau sekarang mungkin lebih teruk.


"Tapi, saya tak pernah rasa putus asa dalam hidup kerana percaya Allah menguji seseorang untuk mengangkat darjatnya," kata Yassin yang ditemui pada majlis Afyaa Dari Poket Artis Ke Poket Artis di Shah Alam, baru-baru ini.


Yassin yang sudah lebih dua dekad berada dalam industri seni berkata, menyertai kumpulan Senario adalah keputusan paling tepat dilakukan dalam hidupnya.




Katanya, teman-temannya, Azlee, Mazlan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek, Wahid dan Allahyarham Hamdan banyak mengajarnya erti kemaafan.


Sifat itulah, katanya, membuatkan persahabatan mereka mampu kekal sehingga hari ini.


Gara-gara itu, katanya, peminat juga dapat melihat mereka bekerja dengan ikhlas kerana tidak pernah timbul rasa kurang enak sesama mereka.


"Sehingga hari ini, kami tidak pernah bergaduh kerana sudah dididik memaafkan satu sama lain sebelum melakukan kerja baharu.


"Kalau bergaduh sekalipun, tak lama kerana kami sudah seperti adik-beradik," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments