BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut selepas ditimpa tandan kelapa sawit dalam kejadian di sebuah kebun di Parit Mat Keling di sini semalam.
Kejadian sekitar jam 1.15 petang itu berlaku, ketika mangsa, Jamaluddin Ariffin, 49, melakukan kerja-kerja mengait sawit di kawasan berkenaan.
Difahamkan, semasa kejadian itu, tandan sawit yang dikait mangsa terjatuh dan menimpa kepalanya.
Abang mangsa, Abdul Wahab Ariffin, 51, berkata, kejadian itu hanya disedari pemilik kebun selepas menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dan kaku di kawasan kebun berkenaan.
Menurutnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
"Arwah memang ambil upah mengait kelapa sawit milik penduduk di situ sebagai pendapatan keluarga.
"Sebelum ini, dia kerja kilang tetapi berhenti kerana perlu menjaga isterinya yang sakit," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pagi sebelum kejadian, Allahyarham sempat menangkap ikan dan menjualnya di pasar pagi di Masjid Tinggi.
"Dua hari lepas, dia ada suarakan kebimbangan dengan hutang motosikalnya yang masih berbaki RM4,000 sedangkan sebelum ini, arwah tak pernah merungut sebegitu.
"Pada awalnya saya anggap biasa sahaja, tetapi selepas kejadian ini, mungkin itu petanda dia akan pergi," katanya.
Jamaluddin Ariffin, 49 |
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridzuan, Telok Medan di sini sekitar jam 8.30 malam.
Kredit: Sinar Harian
0 Comments