"Lima peguam saya tak maklumkan pun berkaitan isu waran tangkap ni" - Norjuma

"Lima peguam saya tak maklumkan pun berkaitan isu waran tangkap ni" - Norjuma



Kota Bharu: Bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed yang kini berdepan empat waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendakwa terkejut berhubung perkara itu dan sehingga kini tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak termasuk peguam.


Usahawan tudung berusia 44 tahun itu turut mendakwa hanya mengetahui isu waran tangkap melalui laporan media selain menyifatkan perkara itu tidak masuk akal.


Pada masa sama katanya, beliau sudah mendapat tarikh baru untuk hadir di mahkamah bulan ini dan akan hadir pada tarikh yang ditetapkan itu.


"Saya pun tidak tahu pangkal cerita berhubung waran tangkap itu dan mengakui agak terkejut membaca laporan media berhubung isu waran tangkap. Sepatutnya perkara ini diuruskan oleh peguam saya, bukannya pihak media.


"Sehingga kini lima peguam yang dilantik pun tidak memaklumkan perkara ini dan buat masa ini saya juga berdepan masalah kerana barisan peguam tidak memberi kerjasama kepada saya.




"Baru-baru ini pun peguam tidak hadir ke mahkamah sedangkan saya mengeluarkan kos setengah juta untuk kos mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran di Royal Guest House, di sini, hari ini.


Bagaimanapun katanya, beliau akan hadir pada tarikh baru yang ditetapkan oleh mahkamah bulan ini."Sebenarnya ramai orang tidak tahu mahkamah sudah memberi tarikh baru kepada saya iaitu bulan ini. Saya akan hadir pada tarikh itu," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma Habib kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.


Sebutan kes itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.




Waran tangkap itu masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim selepas Norjuma dan penjamin iaitu adiknya tidak muncul dalam kamar mahkamah walaupun nama dan kesnya disebut beberapa kali.


Dalam perkembangan lain ketika mengulas mengenai perniagaan baru membabitkan bidang perhotelan di sini, Norjuma berkata ia adalah cabaran baru yang diambil.


"Saya menghabiskan kos sebanyak RM3.5 juta untuk ubah suai hotel ini selepas mengambil alih sejak 2022 membabitkan sebanyak 40 bilik.


"Hari ini secara rasminya hotel ini kembali dibuka selepas ditutup untuk ubah suai. Harga yang dikenakan serendah RM120 sehingga RM200.


"Konsep yang kita ketengahkan adalah butik hotel di mana di tingkat bawah saya menjual tudung keluaran saya selain terdapat kafe dan tingkat atas pula untuk bilik hotel," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments