"Pening maksiat tepi masjid, tolonglah menteri siasat sini"

"Pening maksiat tepi masjid, tolonglah menteri siasat sini"

 


Kuala Lumpur: Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat demi membangunkan masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai akhlak dan tamadun umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.


Beliau memberi pandangan demikian ketika diajukan mengenai isu lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah berdekad-dekad lamanya wujud dan tidak selesai.


Antara lubuk lama berakar umbinya kegiatan pelacuran dibongkar semula Harian Metro adalah di kawasan Pudu termasuk premis sekitar Masjid Jamek Alam Shah di Jalan Tun Razak, Pudu menyebabkan kariah di situ pening maksiat dekat masjid.


"Saya kecewa kerana dari pekarangan kaki lima masjid sudah nampak kelibat sekumpulan pelacur mencari pelanggan," itu antara petikan luahan pekerja tetap Masjid Jamek Alam Shah, Mior Mohd Zain Mior Ali, 70, yang dilaporkan Harian Metro sebelum ini.


Mior Mohd Zain yang sudah bekerja sejak 1984 dan selama 40 tahun bertugas di masjid itu dia mengatakan keadaan pelacur berkeliaran mencari pelanggan di kaki lima rumah kedai berhadapan masjid berlaku sekian lamanya dan paling aktif adalah pada 1970-an.


Imam Masjid Jamek Alam Shah, Mohd Hanif Syakir Mohd Yusuf, 30, dilaporkan berkata, perlakuan sumbang yang berlaku di sekitar masjid berusia 74 tahun ini bukan satu situasi yang baru dan pihak masjid menyedari perkara berkenaan.


Menurutnya, pihak masjid tidak dapat melakukan tindakan yang serius kerana yang lebih berautoriti ialah pihak berkuasa.


Namun, menurutnya, pihak masjid sangat terbuka dan berlapang dada jika terdapat pihak yang ingin bekerjasama dalam membanteras isu yang sekian lama terjadi ini.


Mengulas lanjut isu pelacuran di Kuala Lumpur, Mohd Na'im berkata, beliau sudah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membuat siasatan lanjut seperti dibangkitkan.


"Di bawah bidang kuasa Jawi, mana-mana orang Islam yang terlibat dalam kegiatan pelacuran boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).


"Dalam hal ini, Jawi telah diminta untuk memohon kerjasama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya dalam kenyataan maklum balasnya kepada Harian Metro, semalam.


Skuad Khas Harian Metro yang melakukan penyiasatan sebelum ini juga mendapati di sekitar Pudu ada medan selera terdapat wanita berpakaian seksi bersepah menawarkan khidmat seks serendah RM100 sebelum ia diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 20 Jun lalu serta menahan 27 orang termasuk GRO dan pelacur.



Namun, dua minggu kemudian Skuad Khas Harian Metro yang melakukan kunjungan semula ke lokasi berkenaan dengan mengharapkan ada perubahan namun menyaksikan situasi sama kembali, menimbulkan persoalan bagaimana kegiatan haram terbabit boleh terus berulang kali beroperasi seolah-olah 'kebal' untuk dihapuskan.


Mereka sudah kembali cari pelanggan


Lambaian wanita berpakaian seksi dipercayai pelacur di sebuah medan selera yang diserbu pihak berkuasa pada 20 Jun lalu di Jalan Gelang di sini, kawasan lubuk pelacuran tertua di Pudu ibu negara didapati masih terus berlaku.


Skuad Khas Harian Metro yang melakukan kunjungan semula dengan mengharapkan ada perubahan namun hanya dapat menyaksikan harapan itu meleset.


Malah, sebaik wartawan parkir motosikal di hadapan laluan masuk medan selera terbabit, beberapa wanita seksi melambai dengan menunjukkan isyarat ke bangunan sebelah premis itu.


Keseluruhan tingkat satu bangunan sebelah medan selera yang diubah suai menjadi bilik kecil untuk kegiatan tidak bermoral itu juga diserbu pada tarikh sama serbuan dilakukan terhadap medan selera yang menyajikan khidmat seks.


Kira-kira dua minggu lalu, menerusi laporan ekslusif Harian Metro bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' mendedahkan kegiatan pelacuran sekitar Pudu termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu polis.


Polis menyerbu medan selera di kawasan itu dan menahan 27 orang termasuk wanita dipercayai pelacur.


Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.


Penganalisis keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam turut memberikan pandangannya dengan mengatakan Indonesia boleh tutup kawasan Dolly di Surabaya yang sudah lama berakar sebagai pusat pelacuran terbesar Asia Tenggara.


Dengan kehendak tinggi untuk membuat perubahan, seorang wanita besi yang menjadi Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini memainkan peranan penting menukar Dolly yang dulunya 'hanyir' dengan kegiatan persundalan dan kini menjadi kawasan industri kecil sederhana (IKS) serta tempat pelancongan bersih.


Post a Comment

0 Comments