Mangsa diskriminasi: Kematian kadet TLDM, Soosaimanicckam kerana dinafi rawatan perubatan - Mahkamah Tinggi

Mangsa diskriminasi: Kematian kadet TLDM, Soosaimanicckam kerana dinafi rawatan perubatan - Mahkamah Tinggi


IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut, enam tahun lalu sebagai kes homisid.


Serentak itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan 'keputusan terbuka' berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet berkenaan pada 19 Mei 2018.


Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, pegawai TLDM yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian.


"Mengambil kira semua bukti terhadap siasatan punca kematian (inkues), Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terbuka koroner dan menggantikan dengan homisid. Punca kematian si mati adalah edema pulmonari yang disebabkan oleh leptospirosis.


"Kematian si mati yang tidak dijangka adalah akibat langsung daripada pegawai TLDM yang bertanggungjawab untuk latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan," katanya.


Abdul Wahab membuat keputusan itu mengikut Para (d) Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 2 dan mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah dalam menentukan siapa yang secara jenayah terlibat dalam punca kematian.


Hujahnya lagi, koroner telah terkhilaf mengenai 'keputusan terbuka' yang dibuat berhubung punca kematian Soosaimanicckam tanpa mempertimbangkan bukti yang ada.


Peguam, Zaid Malek yang mewakili keluarga Soosaimanicckam, berkata keluarga Soosaimanicckam bersyukur dengan keputusan itu memandangkan mereka sudah berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi mendiang sejak enam tahun lalu.


"Kita bersyukur dengan keputusan hari ini apabila akhirnya ada pihak yang patut dipertanggungjawabkan sebagai punca kematian si mati," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang turut dihadiri bapa mendiang, S Joseph, 71, dan abang, Charles Joseph, 38.


Pada 16 Jun tahun lalu, Koroner Ainul Shahrin Mohamad memutuskan punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan pegawai kadet di KD Sultan Idris pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.


Mendiang diserang semasa latihan oleh pegawai kanan



Bekas kadet di pangkalan sama, Anas Hakimi Mat @ Ahmad, ketika memberi keterangan berkata, beliau melihat pegawai Leftenan Muda Ariff atau 'Ariff' duduk di atas perut Soosaimanicckam dan menamparnya berulang kali sehari sebelum kematian mangsa.


Anas Hakimi yang kini seorang peguam berkata, beliau dan beberapa individu sedang melakukan senaman fizikal ketika kejadian itu.


"Pada Jumaat iaitu sehari sebelum kematian mangsa, Ariff duduk di atas perut mangsa dan menampar mukanya berulang kali.


"Pada hari kejadian, kami berada di situ dan dia (Soosaimanicckam) dipukul. Hampir semua yang menghadiri latihan melihat dia dipukul," katanya.


Saksi itu berkata, seorang pegawai bernama Mejar Rahim tiba di tempat kejadian dan mengawal keadaan.


Anas berkata, mendiang menjadi sasaran kerana tidak dapat bersaing dengan pelatih lain dalam latihan kadet tentera laut, selain didiskriminasi oleh pihak atasan di KD Sultan Idris.


Beliau berkata, kadet itu ingin mengambil cuti sakit tetapi pegawai bertugas, Faiz Zanila, menolak permohonannya.


"Faiz mendakwa Soosaimanicckam sebagai manja," katanya.


Mulut berbuih dan meninggal dunia




Pada esoknya, rakannya R Rashwin dan Christian Bernard Unto menolong mendiang di tandas yang telah jatuh ketika mandi. 


Menurut Christian, "pada waktu itu, saya sedang bersiap-siap untuk pergi makan tengah hari dan apabila tiba di sana, saya melihat Soosaimanicckam tidak respons, tapak tangannya berdarah, mulut berbuih dan dia terberak dalam bilik mandi.



"Walaupun dia tidak memberi respons, dia masih boleh berjalan ke (biliknya), dia kemudian duduk di katil. Dia macam nak pengsan tetapi saya cuba bangunkan dia dan lap mulutnya yang berbuih.


"Saya tampar dia supaya dia respons tetapi dia tidak respons. Kemudian saya memanggil Rashwin untuk segera membawa mangsa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan semasa angkat mendiang di lobi (kolej kediaman), dia (Soosaimanicckam) meninggal dunia," katanya yang turut memaklumkan beliau tidak ke HAT bersama mangsa.


Soosaimanicckam, yang juga Pegawai Kadet Graduan, disahkan meninggal dunia di HAT Lumut pada 19 Mei 2018.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments