KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina Azhar terkilan tidak dapat menatap wajah arwah bapanya, Allahyarham Azhar MY Ahmad buat kali terakhir kerana berada di Padang, Indonesia.
Azharina berkongsi berita pemergian arwah bapanya yang menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat serangan jantung pada jam 1.59 petang tadi menerusi hantaran dalam Facebook.
"Assalamualaikum. abah Nina iaitu Azhar MY Ahmad baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.
"Nina mohon semua orang sedekahkan Al-Fatihah buat abah," tulisnya.
Sementara itu, adik Azharina, Adriana Azhar berkata, arwah bapanya kena serangan jantung, semalam.
"Bila kena serangan jantung, saya dan adik terus membawa ke hospital kerana abah sudah tak boleh bergerak.
"Sesampai sahaja di hospital, abah terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Selain serangan jantung, beberapa organ lain turut tidak berfungsi," katanya.
Adriana berkata, Azharina masih berada di Padang dan hanya sempat mendapat penerbangan pulang ke Sabah, malam ini.
"Kakak berada di Padang sejak semalam bersama bapa saudara.
"Dia hanya tahu abah sakit sebaik tiba di Padang. Kakak terkejut sebaik mengetahui abah sudah tiada dan cuba dapatkan penerbangan secepat mungkin, tapi hanya berjaya pulang, malam ini.
"Kakak sempat berpesan kepada saya supaya uruskan jenazah arwah secepat mungkin kerana tak elok simpan lama-lama," katanya.
Sebelum ini, bapa Azharina kerap dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung dan pernah melakukan beberapa pembedahan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Azhar, 59, akan dibawa ke Masjid Likas, Kota Kinabalu untuk diuruskan, sebelum dikebumikan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments