MIAMI GARDENS, Amerika Syarikat: Kapten Argentina, Lionel Messi dikeluarkan kerana kecederaan pada minit ke-66 menyaksikan baki perlawanan di bangku simpanan.
Pada masa pertama minit ke-36 apabila Messi menggelecek bola di tepi garisan tetapi dibentes Santiago Arias sekali gus menyaksikan kapten Argentina itu memerlukan rawatan.
Kemudian hadir tamparan besar buat Argentina apabila Messi terjatuh tanpa disentuh, ketika dia berlari di bahagian tengah dan jelas dalam kesakitan apabila dia digantikan oleh Nicolas Gonzalez pada minit ke-66.
Ia terlalu sukar buat Messi, dalam apa yang dilihat kemungkinan kejohanan utama terakhirnya apabila dia duduk sambil menangis di bangku simpanan, gagal untuk mengawal emosinya.
Messi sempat melemparkan kasutnya ke padang kerana berasa kesal dengan kejadian yang berlaku. Messi mengalami kecederaan di buku lali dan tidak mampu beraksi sehingga ke minit terakhir.
Naman, Lautaro Martinez meledak masukkan gol kemenangan pada masa tambahan ketika Argentina menundukkan Colombia 1-0 untuk meraih rekod kejuaraan Copa America kali ke-16 di Stadium Hard Rock, di sini pagi tadi.
Perlawanan buruk yang dicemari dengan isu keselamatan dan penonton, memaksa penangguhan sepak mula selama 82 minit, ditentukan menerusi penamat cemerlang Martinez pada minit ke-112 - gol kelimanya pada kejohanan itu.
Kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut dalam kejohanan utama diraih Argentina selepas kejayaan pada Copa 2021 dan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Bagi Colombia, yang meraih kejuaraan tunggal Copa America pada 2001, ia malam yang mengecewakan kerana tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pasukan kendalian Nestor Lorenzo.
Kekecohan berlaku di sekitar pintu masuk ke stadium itu dengan penganjur menyalahkan penyokong kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket manakala peminat menuduh tiada sistem kemasukan yang berkesan ke gelanggang itu.
Insiden itu mencemaskan dengan sesetengah peminat memerlukan rawatan perubatan kerana letih dan panas tetapi selepas keputusan untuk membuka pintu pagar secara tiba-tiba, tanpa pemeriksaan terhadap mereka yang masuk, keadaan sebahagian besarnya diselesaikan dan permainan akhirnya diteruskan.
Colombia kelihatan lebih bertenaga pada awal aksi dan mereka hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33 apabila Jefferson Lerma mencuba nasibnya dari jarak 20 meter dan rembatan leretnya memaksa penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.
Peminat Argentina berasakan mereka sudah meraih gol kemenangan pada minit ke-75 apabila Tagliafico menemui Gonzalez dalam kotak penalti, yang menewaskan Camilo Vargas dengan satu sepakan leret tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Tidak banyak perubahan dalam masa tambahan dengan peluang daripada Miguel Borja susulan hantaran Jorge Carrascal tetapi perlawanan itu ditentukan menerusi gol hebat.
Leandro Paredes memenangi bola di tengah buat Argentina dengan terjahan kemas, menemui Giovani Lo Celso yang mana hantaran pantasnya singgah di kaki Martinez yang meluru dan dengan tenang merembat masuk gol kemenangan. – AFP.
Kredit: Harian Metro
0 Comments