Nikahi Farah Salleh keputusan tepat, Shuk tidak lagi dikecam netizen

Nikahi Farah Salleh keputusan tepat, Shuk tidak lagi dikecam netizen


PETALING JAYA: Bekas penyampai radio, Shuk Sahar bersyukur diberikan peluang kedua selepas mendirikan rumah tangga dengan Fara Salleh.


Shuk atau nama sebenarnya, Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, mengakui dirinya seolah-olah digam hampir dua tahun.


Namun, katanya, dia diberikan peluang mengendalikan podcast atau audio siar di Singapura, awal tahun lalu.


"Saya bersyukur apa yang dilakukan di Singapura berjaya, jadi saya nak buat di Malaysia.


"Saya tahu rakyat Malaysia kalau buat sesuatu yang salah mereka akan marah, tapi kalau perbetulkan keadaan, mereka terbuka akan menerima.


"Jadi, bila saya dan Fara mengambil keputusan untuk 'settle down'. Kami berkahwin dan buat benda betul. Saya lihat penerimaan orang terhadap kami semakin baik.


"Berbanding dulu kalau orang nampak kami bersama pasti kena kecam. Sekarang kalau muat naik apapun orang tak kecam," katanya ditemui pada sidang media Dol's Podcast bersama Shuib, Shuk Sahar dan Fizie di Tasty Chapati, petang tadi.




Shuk yang mendirikan rumah tangga bersama Fara pada November lalu berkata, dia memutuskan untuk berkahwin dengan Fara dalam majlis ringkas.


"Kami buat majlis ringkas sebab banyak hati kena jaga. Jadi, saya ambil keputusan jalankan dulu perkara wajib, mungkin ada rezeki lebih bolehlah buat kenduri," katanya.


Sebelum berkahwin dengan Fara, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015, tetapi bercerai pada 22 Mac 2023.


Shuk dan bekas isteri, Rossa Sera


Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5.


Mengulas mengenai pembabitannya dalam Dol's Podcast, Shuk berkata, dia gembira dapat kembali mengendalikan program penyiaran bersama dua sahabat baiknya, Shuib dan Fizie yang pernah mengendalikan segmen Geng Pagi Hot di Hot FM pada 2019.


"Sebenarnya perancangan buat podcast di Singapura hanyalah satu projek jangka pendek. Selepas berapa tahun tak berjumpa Shuib, kami bertemu dalam podcast yang saya kendalikan di Singapura pada Mac lalu. Perasaan rindu itu datang semula.


"Rindu itulah yang buat kami kembali dan saya rasa ini adalah masa tepat untuk kami kendalikan podcast sebab kami ada 'chemistry'.


"Saya gembira kami dapat kembali bersama sebab Shuib dan Fizie ini sangat baik dengan saya.


"Saya akui, salah satu benda yang saya sayang adalah dunia penyiaran radio. Saya sayang teman saya di konti seperti Shuib yang saya kenal sejak 14 tahun lalu, manakala Fizie pula empat tahun.


"Sebelum ini, saya tidak tahu apa punca nama saya digam. Tanpa sebarang surat rasmi nama saya seolah-olah kena 'banned'. Tetapi, saya sedar ia adalah kesan daripada apa yang berlaku kepada saya sebelum ini.


"Sebagai artis, saya kena terima semua ini. Syukur pembabitan dalam podcast bagai membuka semula peluang," katanya yang mengendalikan podcast OKLETSGO di Singapura.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments