Nurul Shuhada tarik kes pukul secara sukarela


KUALA KUBU BHARU: Bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menarik semula laporan kes pukul yang difailkan terhadap bekas suaminya pada 6 Julai lalu.


Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menetapkan 2 Ogos depan untuk mendengar semula laporan berhubung penarikan laporan kes selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan merujuk Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.


Hakim Siti Fatimah Talib bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu itu selepas mempertimbangkan permintaan pihak pendakwaan untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama dua minggu bagi mendapatkan kenyataan tambahan daripada Nurul Shuhada berhubung penarikan kes.


Bagaimanapun, Nurul Shuhada tidak hadir ke mahkamah hari ini untuk perbicaraan dan hanya diwakili peguamnya.


Peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Nurul Shuhada menarik semula kes dan pihaknya sudah meneliti laporan penarikan yang menyatakan bahawa ia dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.


"Jadi, oleh kerana prosedur pendakwaan perlu pastikan kandungan laporan, mereka akan ambil kenyataan tambahan daripada pengadu. Disebabkan itu perlukan sedikit masa.


"Hakim bersetuju dan bagi tempoh dua minggu. Ini peringkat daerah, jadi akan rujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, mereka akan teliti laporan dan arahkan pegawai penyiasat ambil percakapan untuk lihat ada tak apa-apa bentuk ugutan.


"Jika sudah berpuas hati mereka akan tarik balik," katanya ditemui di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas perbicaraan kes.


Akberdin turut memaklumkan, Hafidz dan Nurul Shuhada juga sudah menyelesaikan kes berkenaan secara baik.


"Mereka sudah menyelesaikan secara baik, jadi disebabkan itulah, kedua pihak bersetuju untuk selesai masalah mereka secara baik dan Nurul Shuhada juga tarik balik laporan.


"Tiada provokasi atau ugutan, mereka sudah selesai semua isu rumah tangga secara baik. Semuanya sudah selesai.


"Tiada elemen paksaan atau ugutan. Laporan dibuat Nurul Shuhada adalah ekoran penyelesaian dicapai. Jadi, dia tarik balik kes tanpa paksaan dan dibuat dengan sukarela.


"Kami juga sudah dapat laporan daripada peguamnya. Pada 2 Ogos depan, pihak pendakwaan akan maklumkan kepada mahkamah," katanya.


Pada masa sama, Akberdin menjelaskan, selepas 2 Ogos depan akan diterangkan semua perkara yang berkait dengan Hafidz.


"Saya rasa tunggu 2 Ogos barulah boleh terangkan semua sekali, biarkan pihak pendakwaan berpuas hati dengan laporan. Apabila sudah diselesaikan dengan baik, barulah kita terangkan sebab kes sekarang masih berjalan," katanya.


Ditanya sama ada pihaknya mendapat makluman mengenai ketidakhadiran Nurul Shuhada pada prosiding hari ini, Akberdin berkata, ia berikutan sapina tidak keluar dan difahamkan wanita itu juga kurang sihat.


"Sapina tak keluar sebab hari ini sebutan dan saya dengar dia juga kurang sihat. Kalau datang pun pendakwaan kena buat pengesahan secara bebas dan ada prosedur," katanya.


Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.


Hafidz dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.


Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.



Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Namun, mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.


Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4.


Hafidz dan Athira


Hafidz yang juga finalis program pencarian bakat, Hero Remaja Edisi 2011/2012 berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments