Padah rompak dan rogol wanita, lelaki didakwa dengan empat pertuduhan




SARIKEI: Padah merompak dan merogol seorang wanita di kawasan Sungai Baron pada awal Julai lalu, seorang lelaki dijatuhi penjara 37 tahun dan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.


Rosli Mudin, 37, yang didakwa atas empat pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.


Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 18 sebatan. 


Pertuduhan kedua di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan pula, tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan, yang mana hukuman dijalankan selepas menjalani hukuman bagi kes Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan. 


Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara setahun dan hukuman dijalankan serentak dengan kes Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.


Pertuduhan keempat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan juga hukuman dijalankan serentak dengan kes Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.


Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa daripada tarikh perbicaraan di mahkamah iaitu 24 Julai 2024.


Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, berdasarkan fakta kes, tertuduh merompak dan merogol mangsa pada 1 Julai lalu.


Jelasnya dalam kejadian tersebut Rosli telah melarikan telefon bimbit serta beg duit mangsa. 


Tambahnya, ekoran itu polis telah melancar operasi mengesan tertuduh dan telah berjaya menangkapnya di sebuah hotel di Sibu pada 2 Julai lalu.


Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta keluarga.


Kredit: Kosmo

Post a Comment

0 Comments