Pekebun serah diri kepada polis, dakwa keropok digaul racun tikus diikat tinggi

Pekebun serah diri kepada polis, dakwa keropok digaul racun tikus diikat tinggi


BALING: "Agak mustahil keropok yang dicampur racun itu dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter dan diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi itu mampu dicapai kanak-kanak kecil.


"Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan," kata seorang pekebun yang dikenali sebagai Am, 35.



Pekebun itu mendakwa, dia dimaklumkan adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu bahawa keropok yang bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.


Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun.


"Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau kera ambil dan terjatuh di mana-mana.


"Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ," katanya ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.


Dia yang juga ahli keluarga kepada dua kanak-kanak itu hadir pada majlis pengebumian kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, malam tadi.


Racun tikus dari China tidak berdaftar

Dakwanya lagi, racun tikus dari China dan tidak berdaftar itu turut digunakan beberapa pekebun lain di kawasan itu.


Sudah menjadi amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di sekitar Kulim malah turut dijual secara dalam talian.


"Racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepaket.


"Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada bahagian jari.


"Kami tak guna buah sebab bimbang lembu yang kami ternak menjilat atau makan buah itu," dakwanya.


Mengikut portal Jabatan Pertanian, racun berdaftar adalah yang diluluskan untuk diimport, dikilang, dijual dan digunakan dalam negara ini yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di bawah arahan Lembaga Racun Makhluk Perosak.


Racun makhluk perosak yang berdaftar mempunyai label yang membawa satu nombor pendaftaran (No. Pendaftaran LRMP.R1/...) dan kenyataan lain seperti nama racun, kepekatan perawis aktif, kenyataan amaran dan aturan menggunakannya.


Sementara itu mengulas lanjut, Am mendakwa, berdasarkan pengetahuannya, kera liar yang mengambil jajan itu pasti akan memakan makanan itu.


Pekebun serah diri kepada polis

Sementara itu, katanya, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim, semalam untuk siasatan lanjut.


Am mendakwa, dia juga adalah individu yang membawa arwah Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan bantuan rawatan segera pada hari kejadian.


"Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu turut membantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah," katanya.


Direman 6 hari

Permohonan reman terhadap lelaki yang juga pemilik pekebun berusia 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad bermula hari ini hingga 17 Julai.


Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments