Pelajar Tingkatan Dua dirogol sepupu ketika hari keluarga di Mersing

aqq

MUAR: Pembantu butik pengantin yang sedang disiasat berkaitan kes rogol sepupunya sehingga hamil lapan bulan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, di sebuah rumah di Kluang, bulan lalu.


Tertuduh berusia 21 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap sepupunya di rumah mangsa di Kluang, 9.30 malam, Jun lalu.


Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan dibuat, mangsa pada mulanya menerima rawatan di sebuah klinik selepas mengadu sakit perut namun diminta rujuk ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Hospital, Kluang.


Pemeriksaan di hospital terbabit mendapati mangsa hamil dan soal siasat polis mendapati remaja Tingkatan Dua itu dirogol sepupunya ketika mereka mengadakan hari keluarga di Mersing, Disember tahun lalu.


Selain itu, mangsa juga memberitahu, tertuduh turut melakukan amang seksual terhadapnya ketika bertandang ke rumah enam bulan selepas kejadian rogol.


Susulan laporan itu, polis berjaya mengesan tertuduh dan menahannya pada 24 Julai lalu bagi membantu siasatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebelum itu, pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh tidak diikat jamin dengan mengambil kira faktor termasuk hubung kait kejadian pertama (kes rogol) yang masih dalam siasatan polis.


"Selain itu, pihak pendakwaan mahu mahkamah mempertimbangkan hubungan kekeluargaan antara mangsa dan tertuduh yang mana jarak rumah mereka tidak jauh," katanya.


Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tiada ikat jamin ditawarkan terhadap tertuduh serta menetapkan 25 Ogos ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments