Penagih dadah kelar leher lelaki OKU guna pisau lipat




SEORANG penagih dadah ditahan selepas mengaku mengelar leher seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di hadapan sebuah kedai runcit dekat Taman Kluang Barat, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 1.50 petang.


Beliau berkata, mangsa seorang lelaki India berusia 32 tahun telah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom bagi menerima rawatan.


“Mangsa kini dalam keadaan stabil di zon merah dan telah menjalani pembedahan kecil pada malam tadi.



“Seorang lelaki berusia 45 tahun telah ditahan berhampiran sebuah stesen minyak Taman Bersatu, Kluang pada pukul 6.17 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Jelasnya, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku telah mengelar mangsa dengan menggunakan pisau lipat.


Bahrin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan narkotik serta positif morfin.


Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Post a Comment

0 Comments