KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Sathiya, 60, yang terkena serangan angin ahmar ringan, Selasa lalu, kini dibenarkan berehat di rumah.
Anak sulungnya, Vickynesawwry Nayar, 34, berkata Sathiya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, dibenarkan pulang, Rabu lalu.
Vickynesawwry berkata, doktor mencadangkan bapanya menjalani rawatan akupuntur bagi membantu proses pemulihan.
"Doktor mengingatkan ayah agar tidak tinggalkan empat perkara iaitu makan tepat pada waktu, ambil ubat, buat senaman kaki dan tangan untuk kuatkan dua anggota itu serta menjalani rawatan akupuntur.
"Jika ayah tinggalkan salah satu rutin itu, bimbang penyakit angin ahmar kembali menyerang dan mungkin jadi lebih teruk.
"Sekarang, keadaan ayah baik. Ayah boleh bercakap seperti biasa hanya kaki dan tangannya yang kebas dan masih belum kuat," katanya.
Ditanya mengenai emosi Sathiya, Vickynesawwry berkata, keadaan emosi bapanya baik-baik sahaja. Namun, pelawak itu tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana masih belum kuat untuk berjalan sendiri.
"Ayah okay sahaja, tak nampak tanda sedih. Ayah sangat positif, lagipun emak sentiasa ada di sisinya.
"Ketika ayah diserang angin ahmar, Selasa lalu, emak ada di sisi ayah. Ketika itu, mereka baru hendak menikmati sarapan pagi.
"Buat masa ini, saya akan tinggal di rumah bapa buat sementara waktu, mungkin selama dua bulan. Saya kena tolong emak uruskan ayah. Dalam keadaan sekarang, ayah tidak boleh memandu.
"Jadi, saya kena hantar ayah jalani rawatan akupuntur berhampiran dengan kediaman keluarga," katanya.
Vickynesawwry berkata, ramai rakan artis bertanya khabar dan meminta alamat rumah mereka.
"Ramai rakan industri kreatif ambil berat keadaan ayah. Ada yang hubungi dan meminta alamat daripada kami.
"Namun, belum ada yang melawat. Mungkin mereka tidak mahu ganggu ayah yang perlu berehat," katanya.
Selain angin ahmar ringan, Sathiya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun, terkawal.
Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy memiliki sepasang cahaya.
Beliau mula menceburi bidang seni pada 1985 dan terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Kredit: Berita Harian
0 Comments