TAMPIL imej bertudung, pelakon, Nora Danish, 42, memberitahu salah satu faktor yang mendorong dia berhijrah adalah kerana sering menghadiri majlis ilmu agama.
Nora berkata, dia sendiri malu sekiranya masih tidak menutup aurat memandangkan usianya sudah mencecah 40-an.
Mengakui penghijrahan yang dilakukan sejak akhir bulan lalu adalah hal yang berat, namun Nora berharap dirinya terus istiqamah dalam melalui penghijrahan ini.
"Saya tak berani nak cakap lebih, tetapi sebagai manusia saya hanya mampu berdoa supaya Tuhan beri kekuatan untuk saya kekal istiqamah.
"Alhamdulillah, rakan artis juga ramai yang mengirimkan doa supaya saya kuatkan hati dengan penghijrahan ini.
"Walaupun saya akui ramai artis yang pernah tewas sebelum ini, tapi saya sangat memahami situasi mereka kerana nak buat hal yang baik ini banyak dugaannya.
"Jadi, saya mohon anda semua untuk doakan saya supaya terus istiqamah dan melalui hari-hari mendatang dengan lebih baik," katanya.
Nora berkata, perubahan yang dilalui pada usia mencecah 43 tahun ini membuatkan dirinya tidak berfikir soal duniawi seperti kehidupan glamor atau kesenangan yang pernah diraih sebelum ini.
Katanya, selama ini dia sangat bersyukur dengan segala rezeki yang Allah berikan kepadanya dan sudah tiba masa untuk dia memberikan sepenuh tumpuan bagi mendekatkan diri kepada Allah.
"Soal rezeki dalam bidang seni ini saya tak risau sebab pihak produksi semakin terbuka dalam menerima pelakon bertudung.
"Cuma apabila sudah mencecah usia sebegini dan teringat segala rezeki yang Allah pernah beri kepada saya membuatkan saya rasa sudah cukup serta perlu fokus kepada-Nya," katanya.
Menyentuh mengenai kegagalan rumah tangga yang dibina selama 11 tahun bersama Nedim Nazri, Nora menganggap segala ujian yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.
Nora berkata, dia juga bersyukur apabila perpisahan itu berjalan dengan baik dan tiada persengketaan antara mereka.
"Saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Mungkin apa yang berlaku sekarang ini Allah nak jadikan apa yang anda lihat saya sekarang (penghijrahan).
"Saya pun secara tidak sengaja terus terfikir patut semua ini berlaku. Walaupun gagal dalam perkahwinan, tapi saya ini mudah lupa dengan kesedihan. Mungkin itu satu kurniaan yang Allah beri kepada saya supaya cepat 'move on'," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan masih tinggal sebumbung walaupun sudah memberikan kenyataan di media sosial baru-baru ini, Nora bagaimanapun menjelaskan perkara itu tidak wujud.
Nora turut memaklumkan, dia juga tidak berhasrat kembali rujuk kepada bekas suaminya itu.
"Ramai yang menghantar mesej bertanyakan mengenai hal ini. Lebih mengejutkan saya sendiri ada dalam kalangan rakan-rakan yang turut mahu kepastian.
"Saya fikir mungkin hal ini berlaku disebabkan selepas kami bercerai, tiba-tiba Nedim ditahan wad dan kami pula bercerai secara baik.
"Saya menjaganya di hospital sebab siapa lagi lebih mengenalinya berbanding saya. Kami pula dah biasa menjaga antara satu masa lain.
"Jadi, perkara itu mengundang pertanyaan dan membuatkan ramai yang fikir saya sudah rujuk dengan Nedim sedangkan perkara itu tidak berlaku," katanya.
Katanya, walaupun ramai yang mendoakan supaya hubungan mereka kembali bersatu, namun itu bukan fokus utama Nora ketika ini.
"Itu bukan apa yang saya fikirkan sekarang. Saya lebih fokus kepada penghijrahan ini," katanya.
Dalam pada itu, Nora berkongsi keterujaannya apabila dapat bekerjasama dalam projek drama bersiri Perang Nasi Dagang siaran Astro Warna.
Nora berkata, dia seronok sepanjang terbabit dalam penggambaran drama terbitan Red Bean Production.
"Berpeluang bekerja di bawah arahan Fazlisham Mat Hussin (Issey), saya seronok kerana kami saling berkongsi idea dan cuba menjayakan watak sebaik mungkin," katanya.
Drama bersiri lapan episod ini ditayangkan bermula hari ini di saluran Astro Warna.
Kredit: Berita Harian
0 Comments