Saya nak duduk Malaysia, sarapan nasi lemak setiap hari - Yuna


KUALA LUMPUR: Penyanyi Yuna, 38, mengambil tempoh rehat di Kuala Lumpur lebih lama selepas sekian lama berkelana di Amerika Syarikat (AS).


Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai berkata, dia akan berada di Kuala Lumpur sehingga Oktober depan untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan komuniti seni.


"Saya dan suami buat keputusan pulang ke Malaysia lebih lama. Alhamdulillah, keputusan ini diterima baik.


"Jadi, saya ambil langkah buat 'base' di sini sebab merasai kualiti kehidupan di Kuala Lumpur jauh lebih baik. Saya mahu pulang dan memberi sumbangan kepada komuniti serta arena muzik di Malaysia.


"Saya sudah tua, penat nak jalan-jalan. Saya mahu duduk di Malaysia dan sarapan nasi lemak, setiap hari. Memandangkan saya juga ada komitmen, biarlah saya di Kuala Lumpur hingga Oktober depan," katanya.


Yuna ditemui pada sidang media program realiti, Gimme The Mic di The Bee, Publika, di sini, petang tadi.


Yuna adalah salah satu juri program, selain Ajai, Hael Husaini dan Bunga Citra Lestari.




Bercakap tanggungjawab sebagai juri, Yuna berkata, dia teruja berada dalam program yang mengetengahkan ramai bakat seperti dirinya yang berusaha mencari ruang dalam platform media sosial.


"Sebenarnya, saya tidak fikir panjang untuk sertai program ini. Sebelum ini, saya terima banyak tawaran menjadi juri, tapi tidak berkesempatan untuk buat kerja menyeronokkan ini sebab berada di Los Angeles.


"Untuk program ini, saya kena berada di Malaysia selama dua bulan. Sudah tentu saya perlu beri komitmen terbaik.


"Jadi, ini adalah masa tepat sebab saya memang balik lama untuk bekerja dan bersama keluarga.


"Saya sukakan idea mencari 'raw talent', bukannya untuk artis yang sudah 'established'. Kita boleh tengok bakat yang menarik.


"Itu jugalah sebab saya mahu jadi sebahagian daripada program ini. Saya nampak diri saya sebagai peserta. Itu yang saya cakap, jom buat," katanya.


Dalam masa sama, Yuna berkata, dia akan tampil dengan beberapa single baharu dan berharap dapat menjayakan lebih banyak program amal.


"Saya ada lagu baharu, insya-Allah keluar tahun ini. Ada empat lagu yang sudah saya rakam selama beberapa bulan.


"Selain itu, ada beberapa program lagi dan saya berharap boleh melakukan banyak program amal bersama suami," katanya.

Post a Comment

0 Comments