'Saya tidak sampai hati melihat keadaan mayat itu'

'Saya tidak sampai hati melihat keadaan mayat itu'




Kuala Lumpur: Remaja yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak disifatkan sebagai seorang yang ringan tulang membantu penduduk.


Ahli persatuan penduduk, Azmi Abdul Aziz, 60, berkata, dia mengenali mangsa sejak lebih enam tahun lalu malah pelajar tingkatkan lima itu berkawan rapat dengan anaknya yang berusia 16 tahun.


"Saya dapat panggilan daripada penduduk memberitahu ada orang terjatuh di blok C dalam jam 11 pagi lalu saya pun bergegas ke sana.


"Pada mulanya saya menyangkakan orang lain yang maut kerana kelihatan seperti orang dewasa dan ketika itu saya tidak sampai hati untuk melihat keadaan mayat itu.


"Lepas dua jam di situ ada salah seorang penduduk maklumkan kepada saya identiti arwah, saya tergamam dan terkejut," katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian malam tadi.


Azmi berkata, dia sering membawa arwah menyertai pelbagai program komuniti terutama membabitkan golongan remaja di kawasan PPR berkenaan.




Katanya, arwah seorang yang baik tidak membuat masalah sepanjang menetap di kawasan itu bersama neneknya malah sering menyapa sopan dengan panggilan 'Acik Mi' setiap kali berselisih.


Menurutnya, arwah dan rakan sering dilihat berkumpul di sekitar PPR itu dan kali terakhir mereka bertemu sapa kira-kira empat atau lima hari yang lalu.


"Saya tidak pasti apa keadaan sebenar arwah di rumah, saya percaya dia tinggal bersama neneknya tetapi saya tidak mengenali ibu atau bapanya walaupun saya mengenali mangsa.


"Sebagai orang yang lebih tua, saya sering memberikan nasihat dan teguran kepada mangsa serta golongan remaja yang tinggal di PPR, saya tidak mahu mereka tersilap langkah dalam hidup.


"Arwah dan beberapa kawan rapatnya biasalah nakal budak-budak, macam kita juga dahulu tetapi mereka semuanya baik," katanya yang masih trauma dan terkejut.


Terdahulu dilaporkan remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah PPR di Setapak di sini, semalam.


Difahamkan, pelajar sebuah sekolah menengah itu ditemukan dalam keadaan terbaring di tingkat bawah bangunan berkenaan dan terdapat seekor kucing berhampiran mayat yang turut mati.


Mangsa dilaporkan seorang pesakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di hospital.


Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).


Kredit: Harian Metro


Post a Comment

0 Comments