"Suami saya mana"? - Nizam Jentik Jentik sebak saksi kemalangan maut

"Suami saya mana"? - Nizam Jentik Jentik sebak saksi kemalangan maut



Kuala Lumpur: Perkongsian penuh emosi pelawak, Nizam Jentik Jentik di Facebook menarik perhatian pengguna warga maya.

 

Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nornizam Mohd Yusof dalam hantaran itu bercerita mengenai pengalamannya menjadi antara saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang individu, semalam.

 

Menurutnya, dia terpaksa memberanikan diri untuk menjawab panggilan telefon milik mangsa terbabit.

 

"Saya menjadi antara yang terawal nampak dan berada di lokasi kemalangan itu. Saya turun memayungi mangsa sebab keadaan panas terik ketika itu. Ada beberapa penunggang motosikal juga membantu mengawal lalu lintas.

 

"Kami cuba memastikan segala barang penting mangsa, seperti telefon bimbit dan dompet, berada dalam jagaan rapi. Kami tidak dapat menghubungi waris kerana tiada nombor kecemasan tertera di telefon (ini penting).

 


"Tiba-tiba telefon mangsa berdering dan tertera 'My Lovely Wife'. Allahuakbar. masing-masing tidak berani mengangkat, tetapi saya memberanikan diri mengangkatnya.

 

"Saya menjawab, 'Assalam puan…' Dia membalas, 'Eh, suami saya mana? Saya rasa tidak sedap hati, itu yang tergerak hati nak telefon'. Dengan hati yang berat dan sebak, saya khabarkan, 'Puan, suami puan ada dekat dengan saya, dia terbabit dalam kemalangan puan'." katanya.

 

Nizam kemudiannya dimaklumkan bahawa lelaki itu baru selesai menghantar anaknya ke sekolah petang.

 

"Saya menghantar pesanan WhatsApp untuk kepastian. Gambar profil menunjukkan anak mereka dua orang masih kecil lagi. Allahuakbar, menitik terus air mata saya," katanya.

 

Sebelum itu, Nizam cuba mendapatkan bantuan kecemasan malah beberapa orang di situ membantunya memeriksa keadaan mangsa sebelum disahkan sudah meninggal dunia.




Post a Comment

0 Comments