SUKMA XXI 2024: Kos pengangkutan ditanggung sendiri negeri bertanding

SUKMA XXI 2024: Kos pengangkutan ditanggung sendiri negeri bertanding



BETONG: Kos pengangkutan atlet dari negeri lain ke Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan adalah tanggungjawab negeri masing-masing.


Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, negeri-negeri yang terlibat harus bertanggungjawab membiayai kos tersebut dan bukannya mengharapkan Sarawak selaku tuan rumah untuk menanggungnya.




“Sebelum ini sekiranya Sukma diadakan di negeri lain, Sarawak tidak pernah meminta negeri berkenaan untuk membiayai apa-apa kos pengangkutan dan kos-kos yang lain.


“Negeri yang terlibat haruslah menunjukkan semangat kesukanan dan semangat Sukma untuk menjayakan temasya ini,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan lawatan ke venue angkat berat Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pagi tadi.


Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor yang dipetik sebagai berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke temasya Sukma XXI Sarawak 2024.


Ia susulan kos tinggi yang terpaksa ditanggung termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan.


Datuk Gerald Rentap yang juga Ketua Kontinjen Sukma Sarawak menegaskan, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan dana yang besar untuk menaik taraf gelanggang Sukma XXI 2024 serta keperluan-keperluan yang lain.


“Kita telah menyediakan fasiliti dan telah menggunakan belanja negeri sendiri untuk membaik pulih, membina dan juga menganjurkan Sukma XXI kali ini.


“Sebelum ini, kerajaan Persekutuan hanya memberi RM50 juta sahaja kepada Sarawak namun kita akan membuat yang terbaik dengan bajet yang kita ada,” jelas beliau lagi.


Netizen turut mengagumi tekad atlet dan pengurusan sukan bagi negeri Sabah dan Sarawak sebelum ini yang tidak merungut mengenai pengangkutan mereka ketika menghadiri acara Sukma di 11 buah negeri di semenanjung Malaysia. 




Kredit: Suara Sarawak

Post a Comment

0 Comments