Suri rumah ditahan disyaki dera anak tiri

Suri rumah ditahan disyaki dera anak tiri


Kota Bharu: Seorang wanita ditahan semalam, selepas disyaki mendera anak tiri lelaki berusia sembilan tahun di Taman Yik Perdana Kok Lanas di sini, antara 10 hingga 12 Julai lalu.


Wanita berusia 37 tahun yang juga suri rumah itu ditahan susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa berusia 30-an jam 3.45 petang pada 18 Julai lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, bapa mangsa yang juga penjawat awam membuat laporan polis selepas disyaki anaknya didera.


Katanya, bapa mangsa berkahwin dengan suspek sejak Ogos tahun lalu.


"Kejadian disedari bapa mangsa ketika dia pulang dari kerja kira-kira 3 petang pada 12 Julai lalu.


"Dia mendapati anak sulungnya mengalami kecederaan lebam di bahagian kepala, lengan serta mata.


"Selepas ditanya kepada mangsa, anaknya menyatakan dipukul oleh ibu tirinya.


"Siasatan mendapati mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang murid di sebuah sekolah di Kok Lanas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, mangsa disyaki didera oleh ibu tirinya pada 10 Julai lalu dengan cara dibawa ke dalam bilik air dan menghentakan kepala kanak-kanak itu ke dinding serta menyepak kedua-dua belah tangan mangsa.


Menurutnya, mangsa juga dikurung di dalam tandas sehingga keesokan hari tanpa diberi makan dan minum.


Katanya, kejadian berlarutan sehingga 12 Julai iaitu ketika bapa mangsa tiada di rumah kerana urusan kerja di Kuala Lumpur.


"Suspek ditangkap semalam dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes ini masih di peringkat siasatan," katanya.


Mohd Rosdi berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments