Tak fikir cari pengganti

Tak fikir cari pengganti

 


ADA banyak cerita membabitkan kisah peribadi dan karier pelakon, Nur Iman Zulkarnain atau Iman Zulkarnain.


Tidak ramai yang tahu Iman, 33, pernah berpoligami, namun kini berstatus duda tiga anak yang semakin membesar.


Pelakon drama Cik Ayu Mee Sanggul dan Airmata Pendosa ini tidak sesekali menyesali nasibnya. Malah dia reda dengan apa yang terjadi.


"Persefahaman dengan isteri mula teruji selepas saya habis penggambaran filem Bisikan pada tahun 2020 dan proses perceraian berlaku pada 2021.


"Saya bukan menceraikan kedua-dua bekas isteri serentak. Perceraian dengan bekas isteri kedua terjadi selang setahun selepas itu.


"Saya lebih tenang menjalani kehidupan. Tiada masalah dengan status duda dan tak terfikir nak cari pengganti. Mungkin lambat lagi dan malas nak cari kerana saya dah trauma," katanya.


Menurutnya, dia mempunyai kawan-kawan yang sering bersamanya selain tidak perlu terkejar-kejar pulang ke rumah selepas selesai shooting.


"Saya pun tak payah fikir nak balik awal dan boleh luangkan masa buat apa yang saya nak. Saya suka berlakon dan menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon, duduk dekat set dan fikirkan kerja sahaja.


"Saya enjoy dengan apa yang saya ada sekarang. Anak saya yang sulung perempuan kini berusia 12 tahun, kedua juga perempuan berusia 8 tahun dan yang bongsu lelaki, berusia 6 tahun.


"Semuanya hasil perkahwinan dengan isteri pertama dan kini dijaga oleh dia. Mereka juga bebas untuk berjumpa saya semasa Hari Raya, cuti sekolah dan masa yang sesuai.


"Hujung minggu mereka pasti datang. Hubungan saya dengan bekas isteri profesional demi anak-anak. Kami pun pernah pergi ke taman tema bersama mereka," katanya.


Menyentuh berkenaan karier, Iman gembira kerana filem Bisikan yang turut menampilkan Azhan Rani, Vanidah Imran, Fatin Afeefa dan Altimet akan disiarkan sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan.



"Filem ini diterbitkan oleh Aminahtul Mardhiah menerusi syarikatnya D Alpha Legacy dan diarahkan oleh Opie Zami. Genrenya horror thriller. Filem ini menampilkan runut bunyi nyanyian Mimifly featuring Altimet berjudul Hujan.


"Saya juga dipilih untuk mewarnai filem pendek karya sulung arahan bersama Ikhwan Rosli dan Zizan Nin bertajuk A.P.A.K. Ia genre drama keluarga yang turut menampilkan Hasnul Rahmat, Kween Keela dan Danish Miqhail.


"November tahu lalu, saya tampil dengan filem Sazali Meor Coco genre drama terbitan Aquila Emas arahan Zizan Nin. Turut berlakon ialah Shah Radhi, Syazani Zikri dan Zazleen Zulkifli," katanya.


Dia juga terbabit dalam runut bunyi filem ini yang diterbitkan oleh komposer Sharon Paul.


"Ada lima lagu dan saya terbabit dalam proses penghasilan beberapa buah lagu dan menyanyikan sendiri runut bunyi itu.


"Lagu-lagu terbabit ialah Tuju-Tuju, Nanti Dulu featuring Aliya Mazlan, Mengapa Sayangku, Terukir dan saya buat melodi untuk lagu Oh Si Busy.


"Watak saya sebagai Coco, seorang busker dari kampung berhijrah ke Kuala Lumpur dengan dua lagi sahabat baiknya," katanya.


Iman turut gembira kerana kini menyambut ulang tahun ketujuh bersama production YouTuber ASA Production (Team Buat Hal) yang diketuai oleh Syafiq Ahmad.


"Boleh tengok macam-macam watak saya bawa di channel ini. Saya memang sentiasa berusaha pelbagai watak lakonan agar orang tengok bakat saya.


"Sebelum ini saya ada bawa watak autisme dalam telefilem Jeman Ombak Berbisik arahan Rashid Sibir yang ditayangkan pada 2022," katanya.


Post a Comment

0 Comments