TERKINI Kes bunuh kadet laut: Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mendapati enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.


Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.


Ini jenayah kejam paling jarang ditemui - Hakim


Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.


Mereka ialah bekas penuntut UPNM, iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.


Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman' tetapi juga hati nurani masyarakat.


Beliau yang membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat dalam tempoh lebih tiga jam, berkata perbuatan sebegitu paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku membabitkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat dan ia harus dihentikan.


"Ibu bapa mana tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah "berat mata memandang, berat lagi bahu memikul".


"Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.



"Mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan," katanya.


Hakim itu berkata, oleh itu mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh di mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.


Katanya, mahkamah memutuskan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.

Post a Comment

0 Comments