Warga asing alami koyak dubur selepas diliwat kenalan gimnasium

 


Petaling Jaya: Tindakan lelaki warga asing yang menerima pelawaan kenalan baru dikenali di gimnasium untuk berbual di rumah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diliwat di sebuah kondominium, di sini, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, mangsa berusia 25 tahun memaklumkan baru berkenalan dengan suspek warga tempatan di sebuah gimnasium pada Mac lalu.


Katanya, kejadian berlaku apabila suspek mengajak mangsa ke rumahnya untuk berbual sekitar 5 petang.


"Mangsa berjumpa suspek di koridor kondominium sebelum pergi ke rumahnya untuk berbual-bual.


"Sampai saja di rumah, suspek bertindak membuka pakaian mangsa, mula mencabul dan meliwat mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, mangsa tidak menjerit kerana tidak mahu jiran sekitar dengar atau nampak kejadian yang boleh memalukan dirinya.


Shahrulnizam berkata, mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan pada dubur.


"Mangsa dibenarkan pulang selepas rawatan selesai dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihati agar lebih berhati-hati dalam pergaulan bagi mengelakkan daripada berlaku perkara seperti ini," katanya.


Post a Comment

0 Comments