8.5 juta rakyat Malaysia bakal terima STR Fasa 3 minggu depan


Putrajaya - Kementerian Kewangan memaklumkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 Fasa 3 akan disalurkan kepada 8.5 juta penerima sedia ada pada 29 Ogos (Khamis).


Manakala, penerima baharu dan rayuan akan menerima bayaran STR bermula 18 September 2024.


"Mereka akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing," kata kementerian itu dalam satu siaran media.


Tambah kenyataan itu lagi, penerima sedia ada dan penerima baharu serta rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank. Selain itu, ia juga disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.


"Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my.


"Kementerian Kewangan(MOF) ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.


"Sebagai perlindungan daripada kes penipuan, pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu.


"Untuk sebarang pertanyaan mengenai STR, sila hubungi talian bantuan STR/SARA MOF di 03-8882 4565/4566," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan melalui Belanjawan 2024 bahawa peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia.


"Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah.


"Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Insya- Allah, dengan lebih penambahbaikan kepada pengurusan kewangan dan tatakelola, Kerajaan akan mampu untuk memberi lebih bantuan pada masa kelak kepada golongan terbanyak serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir," kata beliau.


Sumber: Kementerian Kewangan via Facebook, Siakap keli



Post a Comment

0 Comments