Ada mayat dalam semak di Padang Serai


KULIM – Seorang pejalan kaki ditemui maut di tepi jalan dipercayai terlibat dalam kes langgar lari di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Lunas berhampiran Kampung Permatang Tok Dik, Padang Serai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tadi mayat lelaki terbabit ditemui seorang pekerja lelaki stesen minyak terbabit ketika membersihkan kawasan sekitar.
Menurut pekerja terbabit yang mahu dikenali sebagai Akhbar, dia terkejut apabila menemui satu tubuh manusia terbaring di dalam kawasan semak di hadapan premisnya bekerja.
Katanya, dia terus memaklumkan perkara itu kepada penyelianya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Polis Padang Serai.
“Selepas beberapa minit pihak polis serta kakitangan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) sampai dan menjalankan pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Saya nampak beberapa ahli keluarga mangsa tiba dan mengesahkan mangsa terbabit adalah ahli keluarga mereka yang saya juga pernah nampak sering berjalan di hadapan stesen minyak ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian penemuan mayat itu.




Menurut sumber siasatan, kes masih lagi dalam siasatan dan hasil siasatan awal dipercayai mangsa mungkin terlibat dalam kemalangan langgar lari dan pihak polis sudah menghantar mayat mangsa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Kredit: KOSMO! ONLINE


Post a Comment

0 Comments